Penduduk Resah Selalu Nampak Pocong, Polis Tampil Beri Penjelasan
Gempar dalam kalangan penduduk sebuah kampung di Gresik, wilayah Jawa Timur, Indonesia apabila khabar angin yang mengatakan kelibat pocong dilihat di pelbagai lokasi bertiup kencang baru-baru ini.
Memetik laporan Detik, penduduk Kampung Glatik memberitahu yang makhluk didakwa berbentuk pocong itu sering muncul di atas bumbung kediaman, bawah pokok dan sekitar rumah kosong.
Tentulah, hal ini membuatkan penduduk sekitar berasa takut dan gentar untuk melakukan aktiviti ketika keadaan sudah malam dan gelap.
Ketua Polis Ujungpangkah, Inspektor Suwito Saputro kemudian tampil memberikan penjelasan mengenai insiden berkenaan.
Menurutnya, khabar angin mengenai penampakan pocong itu adalah palsu dan tidak berasas.
“Saya mengesahkan bahawa berita itu adalah palsu. Ia tidak benar,” katanya dipetik Detik.
Suwito menjelaskan, dia mengarahkan anggotanya menyiasat setelah menerima laporan daripada penduduk. Selain itu, anggota Suwito juga telah membuat rondaan di lokasi-lokasi yang didakwa pocong kerap muncul.
“Kami sudah memeriksa bersama ketua kampung dan ketua daerah, selain anggota polis turut membuat rondaan. Ternyata, tiada penampakan sama sekali,” katanya.
Ketua Kampung Glatik, Mohammad Shokhiyan kemudian mengesahkan perkara itu dan menasihatkan penduduk agar tidak mempercayai khabar angin tersebut.
“Saya sudah bertemu dengan penduduk yang didakwa melihat pocong. Setelah bertanya, dia mengaku sebenarnya tidak melihat pun pocong,” katanya.