Pendakwa Raya Fail Rayuan, Eda Ezrin Dipenjara Sebulan Lagi

PENYANYI Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan perlu menjalani tempoh tahanan tambahan selama sebulan seperti yang dilaporkan media di sana.

Perintah itu dikeluarkan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat susulan pihak Pendakwa Raya Wilayah mengemukakan rayuan untuk melanjutkan tahanan reman terhadap terhadap mereka pada 2 April lalu.

Menurut laporan portal berita apakhabartv.com, jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat berkata, lanjutan tahanan reman itu dibuat selepas pendakwa raya memaklumkan pihaknya akan mencari lebih banyak bukti untuk mengaitkan penyanyi itu dan lima lagi tertuduh bagi pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.

“Berdasarkan rekod di dalam sistem, pihak pendakwa raya telah memfailkan permohonan lanjutan reman terhadap enam rakyat Malaysia itu pada 2 April lalu.

“Permohonan itu dikemukakan agar perintah reman terhadap mereka dilanjutkan selama sebulan selepas tempoh tahanan kali kedua berakhir hari ini,” kata laporan tersebut.

Sebelum ini, Eda Ezrin dan suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama, Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 pil kuda di Sungai Golok, 6 Mac lalu.

Kesemua mereka dijangka menjalani prosiding perbicaraan sekali lagi di Mahkamah Rayuan Narathiwat apabila mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Related post

Leave a Reply