Geng 3 Pagi Era Kembali Bertugas Hari Ini
Sebulan digantung tugas, tiga penyampai radio Era, Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin kembali ke udara hari ini.
Menerusi perkongsian yang dibuat Instagram Era FM, mereka kembali menggalas tanggungjawab sebagai penyampai bagi slot 3 Pagi Era yang dikendalikan sebelum ini.
“Akan kembali, simpan tarikh ini.
“Hari Isnin, 7 April pada pukul 6 pagi bersama geng 3 Pagi Era,” kata hantaran itu.
Netizen dilihat teruja dan meninggalkan respons positif di ruangan komen. Tidak kurang itu, ada juga individu berbangsa India menyambut baik berita kembalinya geng 3 Pagi Era itu.
“Sebagai pendengar berbangsa India, saya ucapkan selamat kembali kepada Azad, Nabil dan Radin.
“Marilah kita saling menyokong antara satu sama lain dan berhati-hati dengan setiap kata-kata kerana boleh mencetuskan salah faham atau menjejaskan keharmonian yang dimiliki.
“Saya doakan yang terbaik untuk kemunculan semula anda. Hiburkan kami, berikan inspirasi tetapi yang paling penting terus menyatukan semua pihak,” ujarnya.
Sebelum ini, kekosongan penyampai bagi segmen 3 Pagi Era hari ini diisi oleh Munabella, Namie, Sharifah Shahirah dan Haziq Husni.
Terdahulu, tiga penyampai Era itu terpalit dengan kontroversi berkaitan sebuah video tular memaparkan salah seorang daripada mereka menari yang dianggap mempersendakan agama lain.
Sungguhpun menerima kecaman yang teruk, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa lesen penyiaran Maestra Broadcast Sdn. Bhd. iaitu pengendali stesen radio Era FM tidak digantung.
Namun, Maestra Broadcast Sdn. Bhd. dikenakan kompaun sebanyak RM250,000, bagi kesalahan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari 2025), iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.