Berita

Pemain Bola Sepak Maut Dipanah Petir Ketika Aksi Persahabatan Di Melaka

Seorang pemain bola sepak dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai dipanah petir ketika beraksi dalam satu perlawanan persahabatan di Melaka pada 5 Julai lalu.

Dalam kejadian sama, seorang pengadil turut cedera, lapor Malay Mail.

Mangsa, R. Thanesh, 28, dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri ke Hospital Alor Gajah menggunakan kenderaan persendirian selepas kejadian di Padang Bola Sepak Kompleks Rakan Muda Lendu sekitar pukul 5.40 petang. Beliau bagaimanapun disahkan meninggal dunia.

Menurut Malay Mail, perlawanan persahabatan antara Rembau Indian Veteran FC dan Tanjung Minyak FC baru berlangsung kira-kira 10 minit apabila hujan renyai mula turun sebelum kedengaran satu dentuman guruh yang kuat.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kira-kira 10 minit selepas sepak mula, hujan renyai mula turun sebelum satu dentuman guruh yang kuat kedengaran.

“Rakan sepasukan mangsa kemudian melihat mangsa bersama dua individu lain rebah di atas padang sejurus selepas kejadian,” katanya.

Pengadil perlawanan dibawa ke hospital dengan ambulans untuk menerima rawatan, manakala seorang lagi individu yang terjejas dilaporkan berada dalam keadaan baik dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

Ahmad menambah, pemeriksaan awal ke atas mayat Thanesh tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

Bagaimanapun, dia memaklumkan mangsa mengalami kesan lecur pada beberapa bahagian badan.

Hospital Melaka kini menjalankan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian, manakala polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut.

Menurut The Sun Malaysia, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan pihaknya akan mendapatkan laporan penuh daripada Persatuan Bolasepak Melaka (MFA) dan pihak penganjur perlawanan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, FAM memandang serius insiden menyayat hati ini dan berharap semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi menentukan punca sebenar kejadian.
Azman turut menegaskan yang keputusan untuk menghentikan atau menangguhkan sesuatu perlawanan atas faktor keselamatan bukanlah tanda kelemahan pengurusan, sebaliknya merupakan tindakan yang wajar.

Noor Azman turut menggesa semua persatuan bola sepak negeri, kelab, akademi serta penganjur perlawanan supaya memantau keadaan cuaca dengan lebih teliti sebelum, semasa dan selepas perlawanan.

Beliau juga menggalakkan penggunaan sistem pengesan petir di venue pertandingan.

“Sistem ini mampu mengesan aktiviti kilat secara masa nyata serta mengeluarkan amaran awal kepada pegawai perlawanan, sekali gus membolehkan keputusan berkaitan keselamatan dibuat dengan lebih cepat.

“Sistem pengesan petir kini digunakan dalam banyak kejohanan termasuk liga profesional sebagai sebahagian daripada prosedur pengurusan risiko,” katanya.

Related Articles

Back to top button