Berita

Pelakon Dakwa Dipinggirkan, FINAS Semak Semula Dana STAR

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac, 55, memberi jaminan pihaknya akan meneliti semula pelaksanaan program Dana Supertelefilem Bintang Veteran (STAR) susulan timbulnya rungutan daripada penggiat seni.

Hans berkata langkah itu diambil selepas pelakon Shahriza Mahmud mendakwa dirinya terpinggir daripada inisiatif berkenaan walaupun sebelum ini diberikan bayangan peluang untuk terlibat.

“Saya sudah arah sekali lagi team FINAS untuk bantu dengan program STAR. Dana STAR Veteran ini adalah dalam beberapa fasa.

“Jadi kena beri masa untuk syarikat produksi pilih skrip yang berpatutan untuk pelakon tertentu,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Terdahulu, Hans memperkenalkan dana STAR sebagai usaha membantu golongan artis veteran menjana pendapatan, dengan menetapkan sekurang-kurangnya 60 peratus tenaga kerja projek terdiri daripada individu berusia 55 tahun ke atas.

Malah, Hans turut menetapkan bahawa watak utama dan pembantu dalam projek tersebut perlu dibawakan oleh pelakon veteran bagi memastikan golongan berpengalaman terus diberi ruang dalam industri.

Dalam masa sama, Hans menyifatkan program itu sebagai projek perintis yang berpotensi diperluaskan sekiranya mendapat sambutan positif.

“Saya sebenarnya teruja kerana ini adalah ‘pilot project’. Jadi kalau ia berjaya, kami dapat laksanakan lagi. Saya rasa tahun depan bajet mungkin kita boleh tingkatkan.

“Kita nak lebihkan lagi projek untuk STAR. Antara yang kita bincang dengan persatuan industri, kita nak ‘monitor’ supaya penerbit memastikan dia bayar bayaran kepada artis, kru dan lain-lain,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pihak FINAS juga mahu memastikan sistem pembayaran dalam industri lebih telus dan teratur, sekali gus mengelakkan sebarang isu melibatkan bayaran yang tidak jelas.

“Kita tidak mahu ada baucer bayaran tanpa jumlah harga dan hanya tertera tanda tangan artis,” ungkap Hanss.

Related Articles

Back to top button