Paru-Paru Dipenuhi Air, Isteri Muss Jalani Prosedur Masukkan Tiub Di ICU

Penyanyi, Muss, 58, memaklumkan isterinya, Suraya Baharu, masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kini menjalani prosedur memasukkan tiub bagi mengeluarkan cecair yang memenuhi paru-parunya.
Menurut pemilik nama sebenarnya Mustaffa Din, keadaan isterinya menunjukkan perkembangan positif dan hampir stabil. Namun, Suraya masih perlu berdepan beberapa komplikasi kesihatan yang memerlukan pemantauan rapi daripada pasukan perubatan.
“Keadaannya hampir stabil, tetapi masih ada beberapa komplikasi. Doktor telah menjalankan prosedur memasukkan tiub untuk mengeluarkan air daripada paru-parunya,” katanya.
Dalam pada itu, Muss mengakui amat mengagumi semangat juang isterinya yang disifatkan tidak pernah mengeluh walaupun sedang melalui ujian kesihatan yang berat.
Katanya, Suraya sentiasa kelihatan tabah dan memilih untuk menyembunyikan kesakitan yang ditanggung demi tidak membebankan ahli keluarga.
“Saya pula yang lebih mudah berasa sedih. Dia langsung tidak menunjukkan dia sakit, sebaliknya sentiasa positif. Disebabkan dia kuat, saya juga perlu kuat dan reda dengan setiap ketentuan,” ujarnya.
Mengulas mengenai sebarang keputusan berkaitan rawatan, penyanyi itu berkata setiap tindakan akan dibuat secara teliti dengan mendapatkan pandangan ahli keluarga agar keputusan terbaik dapat dicapai.
“Saya tidak mahu membuat keputusan secara terburu-buru. Apa sahaja yang perlu diputuskan, kami akan berbincang bersama keluarga terlebih dahulu,” ujar Muss.
Pada masa sama, Muss mengakui sukar memberi sepenuh perhatian terhadap kerjayanya kerana isterinya selama ini banyak menguruskan pelbagai urusan hariannya.
“Kalau ikutkan memang sukar untuk saya bekerja. Dia bukan sekadar isteri, malah banyak membantu menguruskan kerja-kerja saya. Kehilangannya di sisi buat sementara waktu benar-benar memberi kesan,” katanya dalam nada sebak.
Sebelum ini, Suraya dilaporkan menjalani pembedahan memotong kaki kirinya hingga ke paras lutut selepas mengalami komplikasi akibat penyakit diabetes.



