Trending

Anak Rita Rudaini Pecah Rekod Acara 110 Meter Lari Berpagar

Anak sulung pelakon Rita Rudaini, Airit Rayyan Rizqin sekali lagi membuktikan bakatnya dalam arena olahraga apabila berjaya memecahkan rekod acara 110 meter (m) lari berpagar pada Kejohanan Olahraga Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kebangsaan 2026.

Mewakili kontinjen Selangor, Rayyan, 17, tampil cemerlang apabila menamatkan perlumbaan sebagai juara sekali gus mencipta rekod baharu kejohanan dalam acara tersebut.

Tidak hanya menyerlah dalam acara kegemarannya, Rayyan turut mempamerkan prestasi membanggakan apabila meraih pingat perak bagi acara pecut 100m serta pingat gangsa dalam acara 200m.

Mengulas pencapaian anaknya itu, Rita meluahkan rasa syukur dan bangga melihat hasil kerja keras serta pengorbanan yang dilakukan Rayyan akhirnya membuahkan hasil.

Menurut Rita, kejayaan yang diraih bukan hadir secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada disiplin tinggi, latihan yang konsisten dan kesungguhan anaknya dalam mengejar impian.

“Apa yang dikecapinya hari ini adalah hasil kerja keras serta komitmennya sendiri,” katanya dalam sebuah hantaran.

Dalam masa sama, pelakon itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang banyak membantu perkembangan Rayyan sepanjang bergelar atlet.

Menurutnya, sokongan daripada pihak pengurusan MRSM, guru-guru, barisan jurulatih, rakan sepasukan serta doa daripada orang ramai menjadi antara faktor penting di sebalik kejayaan tersebut.

Rita berharap pencapaian itu menjadi pembakar semangat buat Rayyan untuk terus melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan, selain menjadi inspirasi kepada golongan muda agar tidak mudah berputus asa dalam mengejar cita-cita.

Related Articles

Back to top button