Nadzmi Adhwa Tak Terasa Hati Dilabel Tumpang Populariti Isteri

Tidak terasa hati dengan dakwaan kononnya menumpang populariti isteri, pelakon dan pengacara Nadzmi Adhwa, 34, mengakui nama Ardell Aryana kini lebih mendapat perhatian susulan penglibatannya yang aktif dalam kerja kemanusiaan.
Pemilik nama sebenar Nadzmi Adhwa Nor Adzmi, berkata dia memahami mengapa sesetengah pihak melihat Ardell lebih menonjol berbanding dirinya, apatah lagi tidak semua orang mengetahui perjalanan seninya yang sudah memasuki tahun ke-12.
“Saya tak boleh nak salahkan mereka. Mungkin mereka tidak begitu kenal saya. Tetapi kalau ikutkan, saya sudah 12 tahun dalam industri. Saya memang ada, cuma mungkin mereka tak nampak.
“Lagipun, isteri saya lebih banyak ke hadapan. Mungkin sebab dia aktif melakukan bantuan kemanusiaan. Jadi, ‘hype’ dia lebih tinggi dan orang lebih nampak dia.
“Padahal, saya tetap ada di sini. Kalau orang nak cakap apa pun, tidak mengapalah. Saya tak boleh tutup mulut orang. Sebab itu kalau ada peluang untuk kembali berlakon, saya sentiasa terbuka dan berlapang dada,” katanya.
Biarpun kerjaya seninya pernah melalui fasa suram, Nadzmi bersyukur kerana mempunyai Ardell di sisi yang banyak memberikan sokongan sehingga membantunya bangkit semula.
Menurut Nadzmi, dia pernah berdepan masalah pengurusan sehingga terkesan terhadap perjalanan kerjayanya dan pada satu ketika turut tidak menerima tawaran lakonan.
“Saya pernah berdepan isu salah pengurusan. Saya bangkit pun sebab isteri saya. Dialah yang bantu saya keluar daripada titik hitam itu. Saya pernah kena ‘banned’ disebabkan mulut-mulut orang yang bercakap perkara tidak betul.
“Saya pernah langsung tak dapat tawaran. Sebab itu saya mulakan perniagaan untuk teruskan hidup dan cari rezeki. Alhamdulillah, Allah kurniakan isteri yang memahami dan banyak membantu saya bangkit semula.
“Selepas berkahwin, rezeki datang dalam pelbagai bentuk dan bukan semata-mata melalui lakonan atau pengacaraan,” katanya.
Nadzmi pada masa sama tidak menganggap populariti isterinya sebagai sesuatu yang perlu dipertandingkan, sebaliknya mengakui mereka mempunyai laluan kerjaya masing-masing.
Malah, dia memilih untuk kekal terbuka sekiranya menerima tawaran berlakon atau mengacara pada masa akan datang, selain meneruskan usaha mencari rezeki menerusi bidang lain.
Untuk rekod, Nadzmi dan Ardell mendirikan rumah tangga pada 1 September 2019. Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Malaikha Urwa, 6, dan Arwa Uthman Affan, 3.



