Selepas Bayar Cukai RM38.8 Juta, Cha Eun Woo Mohon Semakan Semula Taksiran

Pelakon dan penyanyi Cha Eun Woo telah memfailkan rayuan cukai selepas melunaskan sepenuhnya sekitar 9.5 juta dolar Amerika Syarikat (RM38.8 juta) yang dikenakan oleh Perkhidmatan Cukai Kebangsaan Korea (NTS), dengan mendakwa bahawa taksiran tersebut adalah tidak adil.
Menurut laporan pada 2 Ogos, Cha Eun Woo mengemukakan rayuan kepada Tribunal Cukai pada awal Julai, iaitu sebelum tamat tempoh 90 hari yang ditetapkan untuk membantah notis taksiran cukai.
Agensinya, Fantagio, berkata: “Cha Eun Woo memfailkan rayuan mengikut prosedur yang diperuntukkan undang-undang bagi mendapatkan semakan dari sudut perundangan.
“Memandangkan proses masih berjalan, kami tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara ini,” ujar Fantagio.
Kontroversi cukai Cha Eun Woo mula tercetus pada Januari lalu apabila laporan mendakwa beliau disiasat oleh NTS atas dakwaan mengurangkan jumlah pendapatan yang diisytiharkan menerusi sebuah syarikat milikan tunggal yang didaftarkan atas nama ibunya.
NTS dilaporkan memutuskan bahawa syarikat tersebut, yang hanya menyenaraikan Cha Eun Woo sebagai artis tunggal, tidak menjalankan perkhidmatan hiburan sebenar dan mengklasifikasikannya sebagai ‘syarikat atas kertas’ (paper company).
Susulan itu, pihak berkuasa mengeluarkan taksiran awal berjumlah kira-kira 14.6 juta dolar AS (RM59.66 juta). Pihak Cha Eun Woo kemudiannya memohon semakan sebelum taksiran muktamad dikeluarkan, namun permohonan itu ditolak.
Selepas beberapa pelarasan termasuk berkaitan cukai berganda, jumlah cukai akhir dikurangkan kepada kira-kira 9.5 juta dolar AS (RM38.8 juta) dan dia melunaskan bayaran tersebut sepenuhnya pada April lalu.
Ketika itu, Cha Eun Woo yang sedang menjalani khidmat tentera turut mengeluarkan kenyataan menerusi media sosial.
“Saya menghormati prosedur dan keputusan NTS, dan saya telah membayar semua cukai berkaitan supaya kekeliruan tidak berpanjangan. Saya juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi baki prosedur yang masih berjalan,” katanya.
Bagaimanapun, tindakannya memfailkan rayuan selepas membuat pembayaran penuh kini mencetuskan semula perdebatan.
Walaupun sebelum ini dia menyatakan menghormati keputusan NTS dan akan memberi kerjasama, tindakan mendapatkan semakan terhadap taksiran cukai itu menyebabkan sebahagian pihak mempersoalkan sama ada pendiriannya kini selari dengan kenyataan terdahulu.
Cha Eun Woo dipercayai memilih untuk membayar cukai terlebih dahulu bagi mengelakkan penalti kelewatan pembayaran.
Sekiranya jumlah 9.5 juta dolar AS (RM38.8 juta) itu tidak dijelaskan, penalti lewat melebihi 2,000 juta dolar AS (RM8.1 juta)akan terus dikenakan setiap hari. Dengan membuat bayaran terlebih dahulu, dia dapat mengelakkan caj tambahan sambil mengekalkan hak untuk mencabar taksiran tersebut.
Reaksi dalam kalangan pakar percukaian pula bercampur-campur. Seorang sumber industri berkata, memfailkan rayuan merupakan hak sah setiap pembayar cukai. Menurutnya, walaupun cukai telah dibayar, seseorang masih boleh mengemukakan rayuan sekiranya mempunyai bukti tambahan atau hujah undang-undang yang menunjukkan bahawa taksiran tersebut tidak wajar.
Sementara itu, reaksi netizen kebanyakannya negatif. Ramai mengkritik tindakan Cha Eun Woo yang memfailkan rayuan selepas sebelum ini memohon maaf dan menjelaskan cukai berkenaan.
Sebahagian lagi menyatakan rasa kecewa kerana berpendapat tindakan tersebut tidak selari dengan kenyataannya sebelum ini yang menghormati keputusan pihak berkuasa cukai.
Keputusan muktamad Tribunal Cukai dijangka hanya akan diketahui selepas Cha Eun Woo menamatkan perkhidmatan tenteranya.
Kes melibatkan tuntutan cukai berskala besar seperti ini lazimnya mengambil masa lebih setahun untuk diselesaikan. Sekiranya tribunal memutuskan memihak kepada Cha Eun Woo, dia berkemungkinan menerima semula sebahagian atau keseluruhan cukai yang telah dibayar.
Namun, jika rayuannya ditolak, beliau masih boleh meneruskan tindakan undang-undang melalui prosiding litigasi pentadbiran.



