Malaysia Tersenarai Dalam 10 Negara Persaraan Terbaik Dunia

NAMA Malaysia kembali menjadi sebutan apabila negara penuh warna dan kaya dengan tradisi pelbagai kaum ini menduduki tempat ketujuh dalam senarai 10 negara terbaik untuk persaraan bagi 2025 menerusi Annual Global Retirement Index terbitan majalah International Living.

Senarai tersebut dikeluarkan dengan menilai 20 negara berdasarkan beberapa faktor utama termasuk kos sara hidup, penjagaan kesihatan, pilihan visa dan pemastautin, iklim, tadbir urus serta gaya hidup.

Malaysia dan Thailand merupakan dua negara di Asia Tenggara yang tersenarai dalam kelompok 10 teratas, dengan Thailand berada di kedudukan ke-10.

Laporan tersebut menekankan daya tarikan Malaysia kepada pesara asing berikutan faktor kos sara hidup yang rendah, infrastruktur yang baik serta kepelbagaian budaya yang unik.

“Malaysia menawarkan gabungan luar biasa antara kos yang berpatutan, kemudahan perubatan bertaraf tinggi dan budaya yang kaya, menjadikannya destinasi yang mudah diakses dan memberi pengalaman bermakna kepada pesara,” seperti yang dilaporkan International Living.

Di Kuala Lumpur, kadar sewa jauh lebih rendah berbanding bandar utama di Barat, dengan sebuah pangsapuri satu bilik boleh disewa pada harga antara AS$300 (RM1,326) hingga AS$500 (RM2,210) sebulan, manakala kos utiliti sekitar AS$40 (RM176) hingga AS$60 (RM265).

Mengambil kira perihal makanan pula, kos makan di luar juga sangat berpatutan, dengan hidangan tempatan boleh dinikmati serendah AS$2 (RM8.84) hingga AS$3 (RM13.26).

Sementara itu, bagi mereka yang menginginkan suasana santai, bandar seperti Pulau Pinang dan Melaka menawarkan kos sara hidup yang lebih berbaloi.

Iklim tropika Malaysia dengan suhu sepanjang tahun antara 25 hingga 35 darjah Celsius turut menjadi pujian menerusi laporan berkenaan.

Ditambah dengan kemudahan moden dan populasi yang fasih berbahasa Inggeris, peralihan bagi pesara asing menjadi lebih mudah.

Pilihan visa jangka panjang seperti program Malaysia My Second Home (MM2H) juga diiktiraf sebagai antara kelebihan bagi warga asing yang ingin bersara di Malaysia.

Panama menduduki tempat teratas dalam indeks 2025, diikuti Portugal, Costa Rica, Mexico, Perancis dan Sepanyol. Negara lain dalam kelompok 10 teratas termasuk Greece dan Itali.

Related post

Leave a Reply