Mahkamah Perjelas The 1975 Tidak Boleh Disalahkan

Mahkamah di London memutuskan kumpulan muzik British, The 1975 tidak boleh dipertanggungjawabkan atas pembatalan festival muzik di Malaysia berikutan insiden kontroversi atas pentas membabitkan vokalisnya, Matty Healy.

Hakim William Hansen memutuskan tidak ada prospek nyata untuk membuktikan anggota kumpulan itu perlu bertanggungjawab terhadap Future Siund Asia (FSA), lapor The Independent.

Kata Hansen menyatakan adalah tidak adil, tidak wajar dan tidak munasabah meletakkan liabiliti ke atas anggota kumpulan kerana mereka didakwa tidak mengetahui garis panduan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), undang-undang dan peraturan persembahan di Malaysia.

Sebelum ini penganjur Festival Good Vibes memfailkan saman terhadap The 1975 dan ahli-ahlinya di mahkamah UK, Julai tahun lalu selepas Healy mencium anggota kumpulannya yang juga lelaki atas pentas menyebabkan festival berkenaan dibatalkan pada 2023.

FSA yang menuntut ganti rugi sebanyak RM11.25 juta mendakwa The 1975 Productions LLP melanggar kontrak dan empat anggota kumpulan itu perlu bertanggungjawab terhadap FSA.

Hansen memerintahkan FSA membayar RM557,224 bagi kos guaman, tetapi membenarkan saman terhadap The 1975 Productions LLP sebagai entiti korporat diteruskan.

Mahkamah memutuskan The 1975 tidak boleh disalahkan berkaitan pembatalan festival muzik di Malaysia.

Sebelum ini, peguam The 1975, Edmund Cullen menyatakan tuntutan itu cubaan tidak sah, dibuat-buat dan tidak berasas untuk menyalahkan anggota kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, peguam FSA, Andrew Burns berkata, The 1975 dengan sengaja berkelakuan dalam cara yang mencabar dan mencetuskan provokasi terhadap pihak berkuasa Malaysia.

Terdahulu, Festival Good Vibes yang dijadualkan berlangsung antara 21 hingga 23 Julai 2023 terpaksa dihentikan lebih awal selepas Healy mengkritik pendirian Malaysia terhadap komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Healy kemudian dilihat mencium anggota kumpulannya yang juga pemain gitar bes, Ross McDonalds atas pentas sambil memegang botol arak dalam acara yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.

Rentetan kontroversi itu juga, The 1975 turut membatalkan konsert dia Taiwan dan Jakarta.- Agensi

Related post

Leave a Reply