Lepas Dikecam Tegur Wartawan, Nga Kor Ming Ajak Media Sarapan & Minta Maaf Secara Terbuka

Lepas Dikecam Tegur Wartawan, Nga Kor Ming Ajak Media Sarapan & Minta Maaf Secara Terbuka

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, bertemu wakil media untuk sesi sarapan pagi beberapa hari selepas menerima kritikan kerana menegur seorang wartawan dalam satu sidang media baru-baru ini.

Sesi tidak rasmi yang diadakan di kementeriannya itu menghimpunkan wakil daripada beberapa badan media utama, termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Majlis Media Malaysia, dan Gerakan Media Merdeka Malaysia (Geramm).

Dalam ucapan ringkas, Nga berkata kerajaan Madani mengutamakan kebebasan media dan tidak pernah berniat untuk meminggirkan golongan wartawan.

“Hubungan yang rapat dan saling mempercayai antara kementerian dan media amat penting bagi memastikan dasar serta inisiatif kerajaan dapat disampaikan dengan lebih inklusif dan berkesan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi kementerian itu pada Isnin.

Beliau menambah, sesi tersebut turut berfungsi sebagai platform terbuka untuk perbincangan dan perkongsian ideabagi mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam menjayakan agenda Madani demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Turut hadir ialah Presiden NUJ Malaysia Low Boon Tat, Setiausaha Agung Teh Arthira, dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Wira Nor Azman Taib.

Terdahulu, pada Khamis (30 Oktober), Nga menerima kecaman selepas menegur seorang wartawan semasa prapelancaran projek “I Lite U”, apabila beliau didakwa tidak berpuas hati dengan soalan mengapa nama program tersebut menggunakan bahasa Inggeris dan bukannya bahasa Melayu.

Bagaimanapun, beliau kemudian memohon maaf secara terbuka pada Ahad (2 November).


“Saya menerima segala kritikan membina dengan hati terbuka. Jika ada rakan media yang terasa hati dengan kata-kata saya, saya menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf dengan ikhlas, supaya kita dapat kembali fokus membina semula negara tercinta ini bersama,” katanya.

Related post

Leave a Reply