Lelaki Tayang Pasport Malaysia & Bangladesh, Netizen Desak KDN Siasat

Seorang lelaki warga asing mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia selepas memuat naik gambar dirinya memegang pasport Bangladesh dan pasport Malaysia.
Hantaran itu pantas mengundang kecaman daripada netizen yang menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut kerana kewarganegaraan berganda tidak dibenarkan di Malaysia.
Menerusi satu hantaran di Threads, lelaki berkenaan berkongsi swafoto sambil memegang kedua-dua pasport tersebut.
Pada ruangan kapsyen, dia hanya meletakkan emoji muka berkaca mata hitam dan emoji ‘finger heart’, tanpa sebarang penjelasan lanjut.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen Malaysia.
Ramai menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan siasatan bagi memastikan sama ada lelaki itu benar-benar memiliki kewarganegaraan berganda.
Bagaimanapun, ada juga yang membuat spekulasi bahawa lelaki itu mungkin berkahwin dengan seorang wanita Malaysia dan pasport Malaysia yang dipaparkan sebenarnya milik isterinya.
Seorang lagi pengguna media sosial pula mendakwa pasport Malaysia tersebut mungkin bukan pasport sebenar kerana kulit pasport tiruan dikatakan boleh dibeli secara dalam talian dengan harga serendah RM5.
Mengikut Perkara 24 Perlembagaan Persekutuan, mana-mana warganegara Malaysia yang telah dewasa dan secara sukarela memperoleh kewarganegaraan negara lain berisiko kehilangan kewarganegaraan Malaysia kerana negara ini tidak mengiktiraf kewarganegaraan berganda.
Bagi kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu atau bapa warganegara Malaysia pula, mereka dibenarkan memegang dua kewarganegaraan buat sementara waktu.
Namun, apabila mencapai usia 21 tahun, mereka perlu membuat pilihan secara rasmi untuk mengekalkan salah satu kewarganegaraan.
Di peringkat global, lebih 120 negara membenarkan kewarganegaraan berganda, termasuk Amerika Syarikat, Australia, Perancis dan Jerman.



