G-Dragon Dilantik Duta Rasmi UNESCO, Terajui Kempen Pemeliharaan Warisan Dunia

Bintang K-Pop G-Dragon dilantik sebagai duta rasmi bagi Sesi Ke-48 Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO, yang akan berlangsung di Busan, Korea Selatan bulan ini.
Menurut Pentadbiran Warisan Kebangsaan Korea Selatan pada 3 Julai, G-Dragon dipilih kerana pengaruh globalnya yang bukan sahaja melangkaui dunia K-pop, malah turut merangkumi bidang budaya dan seni.
Agensi itu turut mengiktiraf komitmennya dalam menangani isu-isu sosial serta menyebarkan nilai budaya kepada masyarakat menerusi pelbagai aktiviti seni yang diceburinya.
Sebagai duta rasmi, G-Dragon akan mengetuai pelbagai kempen bagi mempromosikan usaha pemeliharaan warisan dunia.
Yayasan kebajikannya, Juspeace Foundation, yang ditubuhkan pada 2024, akan bekerjasama dengan UNESCO melancarkan kempen Heritage in Peace pada 10 Julai.
Inisiatif tersebut bertujuan menggalakkan orang ramai, syarikat dan bandar-bandar di seluruh dunia mengambil bahagian dalam usaha memelihara tapak warisan dunia.
Dana yang dikumpulkan menerusi kempen itu akan disalurkan kepada Tabung Warisan Dunia UNESCO bagi membantu melindungi tapak warisan yang terancam akibat peperangan, perubahan iklim dan bencana alam.
G-Dragon juga dijadualkan muncul dalam video promosi serta menghadiri beberapa acara rasmi untuk menyampaikan mesej keamanan melalui budaya dan penyertaan masyarakat.
Wakil penyanyi itu berkata: “Warisan dunia ialah khazanah bersama yang perlu dipelihara oleh seluruh manusia. Kami berharap dapat menyampaikan mesej keamanan yang dapat difahami, dihayati dan diterjemahkan kepada tindakan oleh lebih ramai orang,” katanya.
Penganjuran kali ini turut mencipta sejarah apabila menjadi kali pertama Korea Selatan menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO sejak menyertai konvensyen tersebut 38 tahun lalu.
Persidangan utama dijadual berlangsung di Busan dari 19 hingga 29 Julai ini.



