Taylor Swift & Travis Kelce Bergelar Suami Isteri

Penyanyi antarabangsa, Taylor Swift dan bintang bola sepak Amerika, Travis Kelce selamat disatukan sebagai suami isteri dalam sebuah majlis perkahwinan penuh mewah yang berlangsung di Madison Square Garden pada Sabtu.
Menurut laporan PEOPLE, berita gembira itu disahkan sendiri oleh wakil jurucakap Taylor Swift yang memaklumkan majlis berkenaan berlangsung dalam suasana eksklusif di hadapan ahli keluarga serta kenalan rapat kedua-dua mempelai.
Pada hari bersejarah itu, pasangan sama cantik sama padan yang masing-masing berusia 36 tahun tampil mempesona dengan persalinan khas daripada rumah fesyen mewah, Christian Dior Haute Couture.
Menurut jurucakap berkenaan, gaun pengantin Taylor dan sut Travis direka sendiri oleh Jonathan Anderson yang juga Pengarah Kreatif Koleksi Wanita, Lelaki dan Haute Couture Dior menerusi kerjasama rapat bersama pasangan tersebut.
Antara perkara yang mencuri perhatian ialah pasangan itu memilih untuk tidak melantik pengiring pengantin lelaki dan perempuan seperti kebiasaan.
Sebaliknya, abang Taylor iaitu Austin Swift diberikan penghormatan sebagai Man of Honor, manakala abang Travis, Jason Kelce, menggalas tugas sebagai Best Man.
Majlis berkenaan turut diacarakan oleh pelakon komedi terkenal, Adam Sandler, sekali gus menjadikan detik bersejarah itu lebih istimewa.
Sebaik sahaja pasangan tersebut diumumkan sebagai suami isteri, skrin gergasi di luar Madison Square Garden memaparkan ucapan “JUST MARRIED!” sebagai simbol meraikan hari bahagia mereka bersama peminat.
Majlis yang digelar sebagai “Wedding of the Year” itu turut menghimpunkan ramai selebriti Hollywood antaranya Gigi Hadid, Bradley Cooper, Dakota Johnson, Mariska Hargitay, Peter Hermann, Ed Sheeran, Cherry Seaborn, Ellie Goulding dan ramai lagi.
Sehari sebelum majlis perkahwinan, Taylor dan Travis terlebih dahulu mengadakan majlis makan malam bersama keluarga serta sahabat terdekat dalam suasana yang lebih intim di lokasi sama.
Sebelum ini, pasangan itu mengumumkan pertunangan mereka menerusi satu hantaran bersama di Instagram pada 27 Ogos tahun lalu yang memaparkan detik romantis Travis melamar Taylor di sebuah taman sebelum kedua-duanya berkongsi pelukan penuh bahagia.



