Trending

Kismah Johar Ambil Cuti, Datang Ke Mahkamah Beri Sokongan Kepada Syed Saddiq

Pelakon veteran, Kismah Johar, 74, sanggup mengambil cuti daripada penggambaran drama Gerak Khas demi berada di Istana Kehakiman, Putrajaya bagi memberikan sokongan moral kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kismah, berkata, dia sudah merancang lebih awal untuk hadir mengikuti prosiding rayuan terakhir kes berkenaan kerana tidak mahu melepaskan detik penting yang dinantikannya sejak sekian lama.

Menurutnya, dia mengikuti perkembangan kes membabitkan Syed Saddiq sejak beberapa tahun lalu dan bersyukur apabila Mahkamah Persekutuan akhirnya mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan ahli politik itu daripada semua pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bersatu.

“Ya Allah, saya sangat terharu dan gembira. Segala kesabaran dan ketabahan sepanjang menunggu selama ini akhirnya terjawab.

“Sudah lama saya mengikuti perkembangannya menerusi telefon dan laporan media.

“Saya memang yakin kebenaran akan memihak kepadanya. Dia sendiri sentiasa yakin dan berserah kepada Allah. Alhamdulillah, inilah keputusannya.

Mengulas mengenai kehadirannya di mahkamah, Kismah berkata, dia telah memohon cuti lebih awal daripada pihak produksi Gerak Khas kerana mahu memberikan sokongan secara langsung kepada Syed Saddiq.

Katanya, jika tidak mengambil cuti, dia sepatutnya berada di lokasi penggambaran bersama barisan pelakon drama bersiri itu.

“Mereka ada penggambaran. Kebetulan hari ini saya cuti. Kalau tidak, saya pun berada di lokasi penggambaran Gerak Khas.

“Memang dari awal saya sudah maklumkan kepada pembantu pengarah kerana mahu datang memberikan sokongan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Kismah turut menitipkan doa agar segala urusan Syed Saddiq bersama tunangnya, Bella Astillah dipermudahkan sehingga mereka disatukan sebagai suami isteri.

“Harap semuanya dipermudahkan. Semoga mereka terus bersatu,” katanya seperti dilapor Utusan.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir pihak pendakwaan sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada semua pertuduhan berkaitan dana ARMADA Bersatu.

Keputusan itu menyaksikan bekas Menteri Belia dan Sukan berusia 34 tahun itu dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.

Related Articles

Back to top button