Isteri & Penumpang Selamatkan Lelaki Daripada Tersedut Keluar Dari Pesawat Ryanair

Seorang lelaki warga Serbia berusia 61 tahun nyaris tersedut keluar daripada sebuah pesawat Ryanair apabila tingkap berhampiran tempat duduknya tercabut ketika pesawat sedang berada di udara pada 10 Julai lalu.
Lelaki itu dilaporkan berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas isterinya serta beberapa penumpang lain yang memegang tubuhnya daripada tercampak keluar.
Menurut BBC, data penjejakan penerbangan menunjukkan pesawat itu berada di udara selama kira-kira 10 minit sebelum menjunam secara mendadak hampir 2,700 meter.
Beberapa penumpang mendakwa kepada media tempatan bahawa serpihan enjin pesawat telah menghentam tingkap sehingga menyebabkannya pecah, namun dakwaan itu masih belum disahkan oleh pihak syarikat penerbangan.
Insiden itu berlaku dalam penerbangan Ryanair FR18799 yang berlepas dari Thessaloniki, Greece menuju ke Memmingen, Jerman.
Menurut laporan, isteri mangsa memegang kedua-dua belah kaki suaminya selama kira-kira lima minit bagi mengelakkannya daripada tersedut keluar.
Penumpang lain pula memberitahu media tempatan bahawa ketika kejadian, kepala dan bahu mangsa sudah pun terkeluar melalui tingkap sebelum beberapa penumpang lain berjaya menariknya semula ke dalam pesawat.
Mangsa kini menerima rawatan di hospital akibat kecederaan lecur geseran.
“Dia masih terkejut tetapi berada dalam keadaan sedar,” kata Presiden Persekutuan Panhellenic Pekerja Hospital Awam, Michalis Giannakos.
Dalam satu kenyataan, Ryanair memaklumkan pesawat yang dijadualkan ke Memmingen itu berpatah balik ke Thessaloniki sejurus selepas berlepas apabila tingkap penumpang tercabut ketika penerbangan.
Menurut syarikat penerbangan tambang rendah dari Ireland itu, pesawat berjaya mendarat dengan selamat dan semua penumpang dibawa semula ke terminal.
Seorang penumpang turut menerima rawatan perubatan selepas pesawat mendarat.
Bagi mengurangkan kelewatan, Ryanair menyediakan pesawat gantian yang berlepas ke Memmingen pada pukul 9.53 pagi waktu tempatan, lapor The Guardian.
Walaupun Ryanair tidak menjelaskan punca kejadian, beberapa penumpang mendakwa tingkap pesawat pecah selepas dihentam serpihan enjin.
“Kami terus sedar berlaku penyahmampatan kabin. Semua orang menjerit. Pada mulanya saya sangka seseorang telah membuka pintu kecemasan secara tidak sengaja.
“Topeng oksigen terus keluar dan terdapat bau yang sangat kuat. Kepala dan bahu seorang penumpang sudah berada di luar tingkap. Mujur dia masih memakai tali pinggang keledar,” kata seorang penumpang.
Seorang lagi penumpang berkata dia menyangka pesawat itu akan terhempas dan menyifatkan penyahmampatan yang berlaku sebagai amat teruk.
“Rasanya seperti kami tidak dapat bernafas. Penumpang yang cedera itu berdarah dan beberapa kali tidak sedarkan diri, berkemungkinan akibat kekurangan oksigen serta kejutan yang dialaminya,” katanya.
Menurut BBC, pesawat berusia 18 tahun itu dipercayai dikendalikan oleh Malta Air, syarikat subsidiari Ryanair.
Pengendali Lapangan Terbang Thessaloniki, Fraport Greece, memaklumkan bahawa Pihak Berkuasa Penyiasatan Keselamatan Udara dan Rel Greece sedang menyiasat kejadian tersebut.
Mereka turut menyatakan kerjasama penuh sedang diberikan kepada semua pihak berkaitan selain mengaktifkan prosedur tindak balas kecemasan sebaik pesawat terpaksa berpatah balik.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Ireland (IAA) turut mengesahkan bahawa mereka menyedari insiden berkenaan dan akan memberikan bantuan kepada pasukan penyiasat jika diperlukan.



