Kes Amang Seksual, Saksi Dibenarkan Beri Keterangan Secara Online
Mahkamah Sesyen Putrajaya membenarkan saksi dalam kes melibatkan penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, untuk memberikan keterangan secara pautan video berhubung pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam bela Naim, Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique, yang memberitahu keputusan tersebut dibuat selepas mahkamah meneliti hujahan daripada kedua-dua pihak.
“Mahkamah memutuskan agar saksi berkaitan, iaitu mangsa dalam kes ini, memberikan keterangan melalui pautan video pada tarikh perbicaraan nanti,” jelasnya Syafiqah.
Selain Nur Syafiah, Naim turut diwakili oleh Mohd Irwan Sumadi dan Datuk Amirul Ridzuan Hanif.
Sebelum ini, Naim atau nama penuhnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, pada 19 Mei lalu.
Jika disabit kesalahan, pelantun lagu Sumpah itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.
Mahkamah Sesyen Putrajaya sebelum ini menetapkan 15, 16 dan 18 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan kes berkenaan.
Sementara itu, peguam Mohd Irwan memaklumkan pihaknya masih belum dimaklumkan mengenai tarikh tepat saksi berkenaan akan memberikan keterangan.
“Tarikh perbicaraan kekal pada Disember, namun siapa yang akan memberi keterangan dahulu bergantung kepada pihak pendakwaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Naim ketika ditemui menyatakan kerjayanya tetap berjalan seperti biasa meskipun berdepan perbicaraan tersebut.
