“Kenapa Nak Cakap Fasal Anak Saya” – Syasya Rizal

PENYANYI Syasa Rizal, 24, mengakui terkesan dengan komen seorang pengguna media sosial yang mendakwa dia hamil anak luar nikah.

Pemilik nama lengkap Norsyasya Afiqah Shahrizal, berkata, emosinya juga terganggu apabila ada yang melemparkan kata-kata negatif terhadap anaknya, Muhammad Yassir Hayyan.

“Selepas jadi ibu, saya akan cepat emosi setiap kali orang sentuh atau bercakap fasal anak saya. Kalau mereka cakap tentang saya, itu saya boleh terima.

“Kalau anak, rasa macam kenapa nak cakap fasal anak saya tetapi salah saya juga sebab balas komen tersebut.

“Suami pun cakap tidak perlu balas, tutup sahaja sebelah mata. Saya yang cepat melatah,” katanya dalam sebuah majlis, baru-baru ini.

Enggan melayani komen negatif, bekas anggota kumpulan Dolla itu berkata, orang luar tidak mengetahui apa yang terjadi dan tiada hak untuk membuat sebarang spekulasi.

“Saya faham, setiap orang ada pendapat masing-masing. Sudah pasti juga cara mereka mentafsir sesuatu itu juga berlainan.

“Apa yang saya boleh cakap, cukuplah orang di sekeliling yang tahu. Orang boleh bercakap, tetapi yang kenal diri saya hanya saya dan keluarga,” tambahnya lagi.

Tutur cucu kepada pelakon senior, Rozie Othman itu lagi, sebagai ibu dia akan melindungi anaknya sebaik mungkin dalam apa jua keadaan.

“Saya akan lindungi anak saya, tetapi saya tidaklah terlalu ‘over protective’. Saya mahu anak saya membesar dengan sihat dan mengenali dunia sebenar,” ungkapnya.

Untuk rekod, Syasya mendirikan rumah tangga dengan Nasrullah Mohd. Sapie pada April tahun lalu.

Pada Disember lalu, Syasya berkongsi berita gembira apabila selamat melahirkan anak sulung.

Related post

Leave a Reply