Farid Kamil Tak Mahu Lagi Pujuk Diana Danielle

MENGAKUI sudah reda dan berserah dengan takdir Ilahi, pelakon dan pengarah, Farid Kamil, 43, berlapang dada menerima apa jua keputusan membabitkan kes perceraian dengan isteri, aktres Diana Danielle di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 24 Mac ini.

Menurut pemilik nama lengkap Farid Kamil Zahari, tiada lagi usaha pujuk-memujuk seperti mana pernah dilakukan sebelum ini sewaktu kes perceraian kali pertama.

“Semua yang berlaku sudah tertulis dan saya pernah melalui proses perceraian sebelum ini, cuma sekarang yang perlu dibuat adalah kena hadapi dan terima segala keputusan dengan hati yang terbuka dan reda.

“Kes perceraian kali kedua saya betul-betul berserah kepada Yang Maha Esa. Saya hanya mampu menadah tangan dan berdoa.

“Tiada sesi pujuk-memujuk kali ini, tak keluar duit dan tak beli apa pun sebab apa lagi yang boleh saya berikan setelah dia menghancurkan hadiah hari jadinya tempoh hari,” katanya.

Tambah Farid, kes perceraian kali kedua ini tidak melibatkan ibu bapanya, sebaliknya mengambil tanggungjawab penuh dan membuat segala keputsusan dengan sendiri.

“Saya tiada mana-mana rujukan, semua keputusan saya buat dan lakukan sendiri. Kali ini saya tidak mahu melibatkan ibu bapa kerana ini adalah rumah tangga saya.

“Saya tak mahu menyusahkan orang tua saya, tak mahu susahkan hati mereka. Mereka ambil tahu tentang apa yang terjadi, cuma tidaklah saya cerita mendalam,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Farid bersyukur masih diberi peluang untuk berjumpa dengan dua cahaya matanya dan sempat berbuka puasa bersama, baru-baru ini.

“Alhamdulillah, saya dapat berbuka puasa dengan dua anak kesayangan saya, malah berpeluang solat terawih bersama-sama dengan mereka.

“Kadang-kadang saya mahu jumpa anak tetapi akur kalau ibu mereka sudah ada rancangan lain untuk bawa mereka berjalan.

“Setiap kali dapat berjumpa dan keluar dengan mereka, saya sangat bersyukur,” ungkap pengarah filem Remp-it 2 itu lagi.

Terdahulu, Diana membuat permohonan perceraian kali kedua namun pada 15 Disember tahun lalu Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur memerintahkan pasangan terbabit melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) selepas Farid enggan melafazkan talak.

Diana memfailkan penceraian kali kedua itu pada 4 November 2024 atas alasan tiada lagi persefahaman dan perbalahan yang panjang.

Mereka pernah bercerai talak satu pada 10 Ogos tahun yang sama tetapi rujuk kembali sebulan kemudian.

Mahkamah selepas itu menetapkan 24 Mac ini bagi tarikh sebutan semula kes serta hasil laporan JKP.

Farid dan Diana berkahwin pada 3 November 2012. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Muhammad, 12, dan Nur Aurora, 10.

Related post

Leave a Reply