Keghairahan Pada Wanita Hamil Adalah Satu Masalah Seksual
Baru-baru ini, viral di media sosial mengenai seorang pemuda yang didakwa merakam secara sembunyi wanita-wanita hamil untuk kepuasan diri.
Hal tersebut bukan sahaja menimbulkan reaksi yang pelbagai dalam kalangan netizen, malah seorang figura yang sinonim dengan kesihatan mental turut berkongsi pendapat mengenai isu ini.
Pengasas Mental Kuat Centre, Amirul Ramli memberitahu, individu yang memiliki desakan seksual yang tinggi terhadap wanita mengandung atau dikenali sebagai maiesiophilia, memerlukan rawatan bagi mengelakkan mereka terlibat dengan jenayah.
Menerusi satu perkongsian TikTok, beliau berkata, masalah maiesiophilia yang telah sampai ke tahan ketagihan adalah disebabkan bahagian ‘nucleus accumbens’ dalam otaknya mempunyai masalah.
“‘Hyperactive dalam mencari sesuatu yang memberikan kenikmatan itu sampai pergi pusat belah-belah. Sistem dopamin dah kena ‘hijack’, otak mencari rangsangan tanpa kawalan minda rasional.
“Kehendak seksual berbanding dengan penyalahgunaan bahan mungkin, agak mencabar sikitlah sebab ‘substance abuse’ (penyalahgunaan bahan) ni daripada luar. Kehendak seksual ini ‘internal desire’ (keinginan dalaman),” katanya.
Amirul mengulas mengenai kejadian tular di media sosial berhubung seorang wanita dirakam oleh seorang lelaki dalam kejadian di sebuah pasar raya di Seremban 2, Negeri Sembilan.
Tambahnya, jika seseorang dengan masalah tersebut dibiarkan, ia dibimbangi akan berlaku kejadian tidak diingini.
“Apa pun jangan biarkan ia tanpa kawalan kerana kalau tidak, makin lama intensiti kehendak itu makin kuat dan akhirnya risiko melibatkan diri dalam jenayah,” katanya.