Jaja Ishak Elak Kerjasama Dengan Artis Kuat ‘Demand’

Penerbit drama, Jaja Ishak mengakui dia lebih berhati-hati memilih pelakon untuk bekerjasama dengan syarikat produksinya terutama apabila melibatkan artis yang meletakkan terlalu banyak syarat atau bayaran di luar kemampuan produksi.
Menurut pemilik nama sebenar Surja Khairul Ishak, sebagai penerbit dia perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk kos operasi dan kebajikan kru produksi, bukan sekadar memenuhi permintaan pelakon semata-mata.
“Kami sebagai produksi ada bajet dan had tertentu. Kalau artis terlalu banyak terma dan syarat, saya kurang berminat untuk ambil.
“Ada juga yang letak harga terlalu tinggi hingga di luar kemampuan. Kami buat drama biasa, bukan siri premium atau OTT, jadi semuanya perlu ikut bajet sedia ada,” katanya.
Tambahnya, ramai yang kurang memahami cabaran sebenar di sebalik sesebuah penerbitan kerana produksi turut menanggung pelbagai komitmen lain termasuk pembayaran gaji kru belakang tabir, pengurusan pejabat serta caruman KWSP dan Perkeso.
“Produksi bukan sekadar bayar pelakon. Kami ada ramai kru di belakang tabir yang perlu dijaga kebajikan mereka. Semua itu perlu diseimbangkan supaya penggambaran berjalan lancar tanpa membebankan mana-mana pihak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jaja turut mendedahkan ada segelintir artis kurang berminat menjalani penggambaran di luar Kuala Lumpur sehingga menyukarkan kerjasama memandangkan kebanyakan projek produksinya dijalankan di Pahang.
Katanya, pemilihan lokasi di negeri itu bukan sekadar faktor logistik, sebaliknya sebagai usaha mengetengahkan keindahan alam semula jadi Pahang kepada penonton menerusi visual drama yang lebih segar.
“Syarikat kami banyak buat penggambaran di Pahang kerana kami berasal dari sana. Jadi kerja luar kawasan memang wajib.
“Ada artis tidak boleh keluar daerah, jadi kami tak dapat bekerjasama. Tiada masalah, masing-masing ada pilihan dan keperluan sendiri.
“Kita ada gunung, sungai, pulau dan banyak lokasi menarik. Saya suka tonjolkan tempat-tempat ini supaya visual drama nampak segar dan berbeza,” katanya lagi.
Berkongsi perkembangan terbaharu, Jaja memaklumkan drama bersiri terbitannya berjudul Sepenuh Hati Rindu bakal memulakan penggambaran pada 21 Jun depan untuk slot Samarinda TV3.
Menurutnya, naskhah tersebut dijangka tampil dengan jalan cerita penuh konflik dan kelainan yang mampu menarik perhatian penonton.
Drama berkenaan dijangka menampilkan Farah Nabilah yang kembali aktif selepas berehat selain Shah Jaszle bersama beberapa pelakon lain.



