Isu Peluk Adik Ipar, Fasha Sandha Mengaku Khilaf
Pelakon, Fasha Sandha, 41, mengakui khilaf susulan tindakannya memeluk adik ipar, Uzair Haqimy dalam sebuah majlis yang berlangsung, baru-baru ini.
Enggan menegakkan benang yang basah, Fasha berkata, dia sudah menganggap Uzair yang juga suami kepada adiknya, Elisya Sandha sebagai darah daging sendiri.
“Tiada apa yang perlu saya jelaskan kerana semua sudah lihat video itu. Saya mengakui banyak kekurangan dan kelemahan diri, tindakan itu salah satu daripada kekurangan saya.
“Saya terlalu selesa dengan adik ipar saya, kami pun sudah kenal lama sejak di bangku sekolah lagi. Kami sangat rapat, dah macam adik-beradik kandung.
“Saya tahu walaupun saya berpeluk dalam keadaan berlapik, tetapi yang salah tetap saya. Saya sedar tentang perkara itu,” kongsinya.
Tidak mengambil hati dengan teguran orang ramai, Fasha sebaliknya bersyukur kerana ramai yang prihatin terhadap dirinya dan percaya teguran diberikan untuk dia memperbaiki diri.
“Terima kasih kepada semua yang sudah menegur, saya menghargai setiap teguran yang diberikan. Netizen tegur kerana mereka sayang.
“Bila orang tanya saya tentang isu berhijab atau perubahan, saya selalu jawab yang saya tak sempurna dan banyak lagi yang nak diperbaiki. Inilah salah satunya,” ujarnya.
Sebelum ini, tular sepotong video memaparkan Fasha secara spontan memeluk adiknya di acara ‘gender reveal’ bayi kedua Elisya dan Uzair.
Perkongsian itu sekali gus mengundang perhatian dan menimbulkan pelbagai komen kurang senang wargamaya.