Isteri Faisal Halim Fail Cerai
Isteri kepada pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim, iaitu Nur Syazwani Mizuana Shahril dilaporkan telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor.
Berdasarkan semakan di papan info jadual kes harian mahkamah, sebutan kes perceraian pasangan berkenaan telah berlangsung pada Selasa sekitar jam 2.30 petang.
Prosiding itu dijalankan di hadapan Hakim Syarie Mohd Hairuddin Ab Rahim.
Berita ini mengejutkan ramai pihak memandangkan Faisal atau lebih dikenali dengan panggilan Mickey sebelum ini jarang berkongsi kisah rumah tangganya di khalayak.
Malah, pemain kebangsaan itu lebih selesa memberi tumpuan kepada kerjaya bola sepaknya yang semakin menyerlah bersama Selangor FC dan skuad Harimau Malaya.
Untuk rekod, Faisal dan Nur Syazwani mendirikan rumah tangga pada 9 Mac 2019.
Sepanjang perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Khalish Aryan yang kini menjadi penyeri kehidupan pasangan tersebut.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kedua-dua belah pihak berhubung punca keretakan rumah tangga mereka.
Sementara itu, menerusi tinjauan Seniman ke Instagram Faisal mendapati tiada lagi foto dia bersama isterinya.
