Ismail Izzani Teruja Beraya Dengan Orang Baharu

PENYANYI, Ismail Izzani, 25, menyifatkan sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna dengan kehadiran insan baharu dalam keluarga apabila ibunya, Suliza Salam sudah kembali mendirikan rumah tangga buat kali kedua pada Disember lalu.

Percaya setiap yang berlaku ada hikmah, pemilik nama lengkap Izzani Zainal Nazeri, berkata, keluarganya kini bertambah bahagia dan meriah.

“Tahun ini pertama kali sambut raya dengan insan baharu dalam hidup ibu, insya-Allah, raya kali ini lengkap.

“Tak pernah sangka kebahagian boleh datang dengan cara begini dan saya percaya setiap yang terjadi ada hikmah.

“Walaupun kami pernah melalui fasa yang sukar, tetapi Allah itu sebaik perancang, aturan-Nya indah belaka. Ibu dan keluarga bertambah bahagia,” kongsinya.

Tambah pelantun lagu ‘Sabar’ itu, meskipun tidak menyambut Aidilfitri dengan bapa kandung, namun dia masih mengekalkan hubungan baik.

Jelas Ismail, dia juga sempat meluangkan masa bersama bapanya pada Ramadan lalu.

“Saya dan ayah masih berhubung, hubungan kami baik sahaja. Sempat berjumpa dengan dia baru-baru ini.

“Insya-Allah, nanti akan beraya juga ke rumahnya,” tambahnya.

Sekadar info, Disember lalu, Suliza selamat mendirikan rumah tangga dengan pilihan hati, Ismail A. Samad.

Sebelum itu, Suliza yang juga penyanyi 80-an pernah berkahwin dengan Datuk Zainal Nazeri Zainuddin namun disahkan berpisah pada 2022.

Related post

Leave a Reply