Influencer Cedera Terkena Serpihan Bunga Api, Nasihat Orang Ramai Lebih Berhati-Hati

Influencer Ascennie Goh baru-baru ini berkongsi pengalaman mencemaskan selepas mengalami kecederaan akibat terkena serpihan bunga api.
Ketika kejadian, Ascennie mendakwa dia berada pada jarak yang dianggap selamat.
Dia memuat naik perkongsian tersebut di Instagram dan mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga tambahan ketika menonton pertunjukan bunga api.
Menurut Ascennie, dia sedang menyaksikan pertunjukan bunga api pada waktu malam bersama seorang rakan dan sengaja berdiri jauh daripada lokasi pelancaran demi keselamatan.
Namun, tidak lama selepas satu bunga api meletup di udara, dia tiba-tiba merasakan sesuatu objek jatuh lalu terkena dirinya.
Dia menggambarkan objek tersebut sebagai serpihan berwarna hitam yang terkena tepat pada bahagian mata.

Rakan yang berada bersamanya segera membantu membersihkan mata dan mengurangkan keradangan sebelum dikejarkan ke sebuah klinik berhampiran. Dia kemudiannya dipindahkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Selepas menerima rawatan kecemasan, dia diminta datang semula untuk pemeriksaan susulan kerana pakar mata tidak bertugas pada hari Ahad.
Nasibnya baik, selepas menjalani pemeriksaan menyeluruh oleh pakar mata, doktor mengesahkan keadaannya stabil. Serpihan bunga api itu hanya tersasar sedikit daripada bahagian penting mata, dan dia mengalami pendarahan ringan sahaja.
Memetik Weirdkaya, Ascennie berkata, ini adalah kali pertama dia mengalami kecederaan akibat bunga api, dan doktor memaklumkan kes seperti itu jarang berlaku.
Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa kejadian tersebut wajar dijadikan peringatan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati.
“Pastikan jaraknya cukup jauh sehingga serpihan bunga api yang jatuh pun tak akan terkena anda,” nasihatnya.
Walaupun bunga api sering dikaitkan dengan kemeriahan dan kegembiraan, pengalaman Ascennie jelas menunjukkan bahawa aspek keselamatan perlu sentiasa diutamakan, walaupun sekadar menonton dari jauh.



