“Tembikai Tak Campur Air” – Idea Suami Jual Jus Tanpa Cair Cetus Pujian Netizen

Seorang wanita baru-baru ini berkongsi dalam talian bagaimana suaminya tampil dengan apa yang disifatkannya sebagai idea paling bodoh atau paling bijak pernah wujud.
Menurut perkongsiannya, suaminya merancang untuk menjual jus tembikai tulen di sebuah gerai tepi jalan di Kuala Lumpur.
Tiada air tambahan. Tiada gula tambahan. Dan paling penting, tidak dicampur ais biasa.
Suaminya menyedari bahawa ramai peniaga bazar mendakwa jus tembikai mereka original dan tidak dicampur air tetapi bekas minuman yang sedia untuk dijual dipenuhi dengan ais.
“Bila ais cair, itu jadi air juga kan?” katanya.
Jadi, daripada menggunakan ais biasa, dia membekukan jus tembikai yang telah dikisar menjadi kiub ais. Apabila kiub itu cair, ia tidak mencairkan rasa minuman, sebaliknya kembali menjadi jus tembikai.
Gerai tersebut turut menonjolkan konsep itu dengan sepanduk merah besar bertulis: ‘Tembikai Tak Campur Air’.
Dari jauh lagi pelanggan sudah tahu apa yang dijual dan apa keistimewaannya. Produk jelas. Nilai unik (USP) pun jelas.
Idea itu cepat mendapat perhatian dalam talian, dengan ramai mengatakan mereka sanggup membelinya serta-merta.
Seorang pengguna berkata, dia sudah penat membeli jus tembikai yang akhirnya rasa seperti sirap dan bukannya buah sebenar.
Seorang lagi berkongsi yang abangnya pernah menjual jus tembikai tanpa campuran air, ais atau gula, dan minuman itu habis terjual sebelum jam 6.30 petang.
Ada juga yang memuji suami tersebut kerana “menjual penyelesaian selepas menemui masalah”, menyifatkannya sebagai pemasaran yang bijak.



