Impian Esma Daniel Pakai Seragam Tercapai
MELIHATKAN seorang demi seorang rakan terdekat mula menabur bakti kepada masyarakat dan negara sebenarnya banyak memberikan inspirasi kepada pelakon Esma Daniel, 56, untuk sama-sama turut serta menyumbang bakti.
Ada kala hatinya dipaut rasa cemburu melihatkan rakan-rakan terdekat menyarung pakaian seragam memerah kudrat untuk membangunkan negara tercinta sehingga membuatkan dia nekad menyertai Angkatan Pertahanan Awam (APM) minggu lalu.
“Alhamdulillah, permohonan saya untuk menyertai APM diluluskan dan mereka ditauliahkan pangkat Kapten Bersekutu (PA). Saya anggap ini merupakan permulaan baharu kepada sebuah perjalanan yang sudah dinantikan sejak dahulu.
“Paling manis apabila saya dan rakan-rakan lain ditauliahkan sehari sebelum sambutan Hari Pertahanan Awam Sedunia yang disambut setiap 1 Mac, pastinya itu akan menjadi detik manis untuk dikenang,” kata juara Hero Remaja 1991.
Selain Esma, turut menerima pentauliahan termasuklah Zed Zaidi, Mas Suhaizul Nizam, Saeful Fadhly Moktar dan Mohd Shukri Suhaimi.
Mereka merupakan Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang turut sama menyertai pertahanan awam .
Tambah pelakon ini lagi, dengan penyertaaan sebagai salah seorang pegawai bersekutu, dia teruja untuk menyumbangkan bakti sekiranya diperlukan pada masa hadapan.
“Buat masa ini kami sedang memperhalusi cadangan untuk mengaktifkan Briged Seni Kreatif selain memenuhi tuntutan kursus asas pertahanan yang perlu disertai sedikit masa lagi.
“Melalui Briged Seni Kreatif ini, pelbagai agenda akan dirancang oleh pihak APM bersama FINAS untuk memberikan input menarik selaras dengan apa yang diperuntukan untuk agensi berkenaan.
“Saya berharap lebih ramai anak seni kita akan menyertai APM dan menyumbangkan semula bakti kepada semua,” kata Esma yang juga merupakan Setiausaha Kehormat, Pertubuhan Kandungan Kreatif Digital (DCAM).
DCAM bukan sahaja mengumpulkan pemain kandungan kreatif serta pencipta kandungan tetapi dalam masa yang sama mahu memastikan mereka mendapat peluang dan ruang untuk mengembangkan karya masing-masing ke peringkat tertinggi.
Dalam bidang lakonan pula, Esma gembira kerana bakatnya masih dihargai dan dia masing lagi menjadi pilihan kebanyakan rumah produksi sejak dahulu.
“Dunia lakonan memang ada pasang surutnya. Saya bertuah kerana masih diterima oleh peminat dan sering menjadi pilihan mereka. Apa yang paling penting adalah kepercayaan orang lain terhadap bakat kita.
“Kepada semua anak seni yang yang lain, jangan sesekali mengalah dengan keadaan. Teruskan berusaha untuk menjadi yang terbaik,” kata Esma yang baharu sahaja muncul dengan drama Haluan di TV1.