
Hazwani Helmi Dedah Dilayan Seperti Binatang Oleh Tentera Israel
Sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF), Hazwani Helmi, 28, akhirnya tiba di Istanbul, Turkiye pada jam 8.40 malam Sabtu, selepas dibebaskan daripada tahanan Angkatan Tentera Israel (IDF).
Hazwani mendedahkan sepanjang ditahan oleh tentera Zionis, dia bersama sukarelawan lain menerima layanan yang teruk dan dilayan seperti binatang.
“Memang sangat teruk. Apa yang boleh saya katakan, mereka (tentera Israel) melayan kami seperti binatang. Kami tidak diberi makanan dan air bersih,” katanya dalam temu bual bersama agensi berita Al Jazeera.
Hazwani turut memaklumkan semua ubat-ubatan dan barangan peribadi sukarelawan, termasuk beg serta dokumen penting telah dirampas oleh pihak tentera.
“Sehingga sekarang kami masih belum mendapat semula barangan kami. Dunia perlu tahu betapa kejamnya mereka,” ujarnya lagi.
Dalam temu bual sama, Hazwani turut menceritakan tentang nasib aktivis terkenal dari Sweden, Greta Thunberg yang turut serta dalam misi kemanusiaan tersebut.
“Saya masih ingat bagaimana mereka menyeret Greta dengan kasar dan menekap bendera Israel di wajahnya. Mereka melayannya seperti binatang,” dedahnya.
Menurut laporan media antarabangsa, Greta, 22, masih berada dalam tahanan tentera Israel, sementara kerajaan Sweden kini sedang berunding melalui saluran undang-undang bagi membawa pulang aktivis muda itu.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan semua 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF telah selamat tiba di Istanbul, dan kini sedang menjalani pemeriksaan kesihatan serta menerima sokongan psikologi penuh daripada pihak berkuasa Turkiye.
Kumpulan itu diterbangkan menaiki pesawat khas kerajaan Turkiye TK6921 dari Lapangan Terbang Ramon, Israel dan dijangka pulang ke tanah air malam ini atau esok.