Haram Guna Duit Raya Bayar Road Tax Kereta
Membelanjakan duit raya yang diterima oleh anak-anak untuk keperluan diri, termasuk memperbaharui cukai jalan kereta adalah dilarang sama sekali. Terutama pada senggang waktu selepas sambutan hari raya di mana ramai dalam kalangan golongan dewasa kini ‘kehabisan’ wang.
Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus berkata, hukum ibu bapa yang menggunakan duit raya anaknya bagi keperluan sendiri adalah haram.
“Ramai mak ayah sekarang cakap, tidak mengapa sebab tu duit anak mereka sendiri, bagi yang tak ada ilmu kata macam tu lah, tapi sebenarnya haram.
“Jika guna juga mak ayah itu wajib bayar balik, kaedah dia cuit raya anak itu adalah hak dia, kita tidak boleh ‘mencuri’ duit anak itu ditambah lagi jika anak itu belum baligh,” jelasnya.
Ustaz Azhar Idrus berkata demikian menerusi dalam satu klip video soal jawab agama yang dimuat naik di Youtube.
Dalam pada itu, Ustaz Azhar Idrus menambah, ibu bapa perlu diingatkan bahawa duit raya adalah hak serta harta kepada anak itu, manakala duit ayah adalah hak dan harta ayah.
“Islam tak ajar ambil harta orang, anak hak dia, ayah dan mak juga hak dia. Mak tak boleh ambil duit anak, ayah tak boleh ambil duit anak, anak juga tak boleh ambil duit ayah dan mak dia.
“Kalau ambil untuk simpan tak apa, jangan ambil guna. Anak yang belum baligh tidak sah ambil izin dia.
“Sebab tu jika ada kematian duit sedekah orang ramai tidak boleh digunakan untuk tahlil jika si mati masih ada anak yang belum baligh,” katanya lagi.