“Jangan Ambil Nyawaku, Ya Allah” – Zamarul Hisham
Pelakon, Zamarul Hisham, 54, berkongsi semula detik cemas ketika mengalami serangan jantung di Port Dickson, Negeri Sembilan, pada Februari lalu.
Menurut Zamarul, tiada lain yang dikifirkan saat itu selain soal kematian. Namun, masih berharap Yang Maha Esa memanjangkan usianya supaya dia sempat bertaubat.
“Ketika kena serangan jantung, fikiran saya jadi kosong. Hanya terlintas dalam kepala sama ada sempat atau tidak untuk bertaubat.
“Apa yang saya mampu buat ketika itu adalah memohon kepada Allah supaya saya diberikan peluang untuk terus melihat isteri dan anak-anak.
“Saya juga merayu kepada Allah ‘janganlah kau ambil nywaku Ya Allah’, ayat itu yang sahaja yang terlintas.
“Perasaan saya ketika itu sangat takut dan tak tahu macam mana nak gambarkan ketakutan itu,” katanya yang ditemui di majlis tayangan perdana filem Blood Brothers: Bara Naga, baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, suami kepada aktres Diana Rafar itu memberitahu, dia sekarang bergantung dengan ubat-ubatan supaya kesihatannya dalam keadaan terkawal.
“Alhamdulillah saya semakin pulih, tetapi ubat perlu makan setiap hari. Pemakanan juga saya sangat kawal sekarang, kerana kalau makana tidak betul akan rasa jantung macam tak selesa.
“Saya ada azam baru ketika dirawat di ICU hari itu, saya mahu kawal pemakanan saya dan jaga kesihatan dengan baik,” tuturnya lagi.
Dalam pada itu, Zamarul turut memaklumkan dia perlu menjalani prosedur angiogram dan pemasangan sten di bahagian kanan jantung.
Dia juga perlu menjalani satu lagi prosedur sten di bahagian kiri jantung dalam tempoh terdekat.