Berita

“Hanya Ada Dua Pilihan, Kehilangan Dia Atau Kehidupan Kami Selepas Ini Tidak Lagi Sama Seperti Dirancang”

Penyanyi dan vokalis kumpulan Barbarik, Muss, 58, mengakui ujian paling berat yang pernah dilaluinya adalah apabila melihat isterinya, Suraya Bahari, bertarung dengan komplikasi penyakit kencing manis sehingga terpaksa menjalani pembedahan memotong kaki kiri.

Pemilik nama sebenar Mustaffa Din, berkata, keadaan isterinya yang kritikal memberi tekanan emosi yang besar, namun dia memilih untuk menerima segala ketentuan dengan hati yang reda sambil terus meneruskan tanggungjawab sebagai suami dan anak seni.

“Memang satu tekanan yang sangat besar, tetapi Alhamdulillah saya masih mampu menerimanya. Pada awalnya memang banyak persoalan bermain dalam fikiran saya, namun akhirnya saya serahkan semuanya kepada Allah SWT.

“Kalau Tuhan menentukan sudah sampai waktunya, saya perlu reda. Jika kita tidak dapat menerima kenyataan, keadaan itu akan menjadi lebih sukar untuk dihadapi,” katanya.

Menurut bekas vokalis kumpulan Wings dan May itu, situasi yang berlaku memaksanya bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan, termasuk perubahan besar dalam kehidupan yang tidak pernah dijangkakan sebelum ini.

“Bagi saya, hanya ada dua pilihan iaitu sama ada menerima kemungkinan kehilangan dia atau menerima hakikat bahawa kehidupan kami selepas ini tidak lagi sama seperti yang dirancang.

“Banyak perkara yang kami impikan bersama mungkin tidak dapat dilakukan lagi dan saya perlu menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Muss berkata dia perlu terus kuat bagi menguruskan isterinya selain memenuhi komitmen bersama Barbarik yang masih aktif membuat persembahan.

“Saya perlu kuat dan tenang untuk menguruskan kehidupan harian. Pada masa sama, saya juga perlu membahagikan tenaga dan fokus kepada Barbarik.

“Cabaran kali ini memang sangat berat untuk saya hadapi. Namun Alhamdulillah, saya masih mampu bertahan walaupun keadaan isteri saya ketika ini boleh dikatakan sangat kritikal,” ungkap Mus lagi.

Mengulas lanjut, Muss berkata komplikasi yang dialami isterinya berpunca daripada penyakit kencing manis yang telah menyebabkan keadaan kesihatannya semakin merosot.

Katanya, pelbagai usaha dan kaedah rawatan telah dicuba bagi membantu proses pemulihan, namun keadaan menjadi semakin rumit apabila terlalu banyak pandangan dan cadangan rawatan yang diterima.

“Punca utama memang disebabkan penyakit kencing manis. Saya sudah mencuba pelbagai cara dan menerima banyak pandangan mengenai rawatan yang boleh dilakukan.

“Apabila terlalu banyak pilihan, saya sendiri tertanya-tanya sama ada ada langkah yang tersilap diambil atau memang keadaan sudah ditakdirkan berlaku seperti ini,” katanya.

Muss turut memaklumkan masalah kesihatan isterinya bermula beberapa bulan lalu apabila mengalami gangguan pada bahagian kaki sebelum keadaan bertambah serius akibat jangkitan kuman.

“Masalah pada kaki dia sebenarnya sudah bermula sejak tiga atau empat bulan lalu, mungkin lebih lama. Pada peringkat awal, ia melibatkan masalah saraf yang sempit dan menyebabkan kesakitan,” kongsi Mus seperti dilapor Berita Harian.

Terdahulu, Suraya yang mesra disapa Sue dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan memotong kaki kiri akibat komplikasi penyakit kencing manis di Hospital Ampang pada 13 Jun lalu.

Dalam perkembangan lain, Barbarik bakal bergandingan dengan kumpulan Cromok menerusi Konsert Black On White: Cromok-Barbarik yang akan berlangsung di IdeaLive Arena, 3 Damansara, Petaling Jaya.

Related Articles

Back to top button