BeritaViral

Firdaus Ghufran Hampir Jadi Mangsa Seksual Ketika Mula Berlakon

Pelakon, Firdaus Ghufran, 24, mendedahkan hampir menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang lelaki ketika masih bergelar pelakon kanak-kanak suatu ketika dahulu.

Pemilik nama lengkap Muhammad Firdaus Ghani Ghufran bagaimanapun bersyukur kerana sempat mengelakkan kejadian itu daripada berlaku, namun mengakui detik berkenaan meninggalkan kesan mendalam di ingatan.

Menurutnya, isu gangguan seksual bukan perkara asing dalam industri hiburan, terutamanya melibatkan kanak-kanak yang masih mentah dan baru berjinak dalam dunia seni.

“Perkara ini memang wujud dan memang berlaku. Ia hampir terjadi kepada saya, tetapi saya berjaya mengelakkannya. Selepas itu saya tidak mahu ambil tahu lagi tentang individu tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Firdaus turut meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan pelakon cilik yang kurang pengalaman dan mudah terdedah kepada pelbagai risiko dalam industri hiburan.

“Kanak-kanak yang baru masuk industri biasanya tidak tahu apa-apa. Mereka masih polos dan tidak memahami situasi sekeliling, lebih-lebih lagi dalam dunia hiburan ini.

“Bagi saya, kenapa sanggup buat perkara seperti itu? Mereka ada keluarga, ibu bapa dan saudara mara. Tindakan sebegini sangat tidak waras dan teruk,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Firdaus menyeru ibu bapa agar sentiasa berwaspada dan memainkan peranan aktif dalam memantau pergerakan anak-anak yang terlibat dalam bidang lakonan.

“Perkara berkaitan seksual adalah isu yang sangat serius, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kanak-kanak. Ibu bapa perlu sentiasa menjaga dan melindungi anak-anak kerana ada individu yang sanggup melakukan perbuatan kotor walaupun hanya sekali.

“Saya percaya kifarah itu wujud. Dalam industri ini, semua orang sepatutnya mencari rezeki dengan cara yang baik,” katanya lagi.

Terdahulu, pendedahan mengejutkan turut dibuat oleh pelakon Alqal Sahar yang mendakwa pernah menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang pengarah ketika masih kanak-kanak.

Menurut Alqal, dia memilih untuk berdiam diri selama ini demi menjaga hubungan kekeluargaan kerana individu terbabit merupakan ahli keluarganya sendiri.

Related Articles

Back to top button