Digelar ‘New Adele’, Sienna Spiro Bersinar Menerusi Die On This Hill

Berbakat dalam bidang nyanyian dan juga penulisan lagu, penyanyi yang mahu dikenali dengan nama Sienna Spiro bukanlah satu nama asing bagi segelintir peminat global.
Suaranya yang merdu dan ditambah dengan penceritaan lirik lagu yang jujur membuatkan sebahagian besar peminat menggelarnya sebagai ‘New Adele’ untuk generasi baharu sementelah mempamerkan vokal yang penuh emosi dengan cara yang begitu dekat di hati pendengar.
Dalam tempoh setahun kebelakangan ini, Sirnna telah mencipta pelbagai pencapaian membanggakan. Beliau terpilih sebagai Vevo DSCVR Artists to Watch 2026, selain mencuri perhatian menerusi EP sulungnya Sink Now, Swim Later yang dilancarkan pada awal 2025.
Projek tersebut menampilkan lagu-lagu seperti Origami, Back To Blonde dan Need Me, yang menerima sokongan awal daripada artis antarabangsa seperti SZA, Mark Ronson dan FINNEAS.
Lagu hitsnya berjudul Maybe turut mencatat lebih 125 juta penstriman di seluruh dunia serta pernah menduduki carta viral Spotify di empat negara.
Sienna juga telah membuat debut televisyen di The Late Show with Stephen Colbert, menyertai jelajah musim panas penyanyi multi-platinum Teddy Swims, serta menjadi artis pembuka tirai kepada Sam Smith dalam residensi eksklusif To Be Free: New York City di Brooklyn.
Di Malaysia, Sienna mula mencetuskan fenomena tersendiri menerusi single terbaharunya, Die On This Hill terbitan Capitol Records.
Lagu tersebut menerima sambutan luar biasa daripada peminat tempatan dan pantas menembusi carta penstriman utama dengan kedudukan #12 di Spotify Top 50 Malaysia serta #41 di Spotify Top 50 Global, sekali gus membuktikan bahawa karya SIENNA bukan sahaja mendapat tempat di peringkat antarabangsa, malah berjaya menawan pasaran Asia Tenggara.
Populariti Die On This Hill turut dapat dilihat menerusi gelombang video cover lagu di Instagram dan TikTok yang dikongsi oleh artis tempatan seperti Yazmin Aziz, Julia Duclos dan Elica Paujin.
Trend ini menjadikan lagu tersebut antara balada antarabangsa paling tular di TikTok Malaysia ketika ini.
Selain itu, kandungan kreatif daripada artis tempatan seperti Siti Hariesa dan Diana Danielle turut menguatkan lagi impak Die On This Hill di Malaysia apabila kedua-duanya berkongsi interpretasi tersendiri terhadap lagu ini di media sosial, sekaligus memperluaskan jangkauan Sienna dalam kalangan pendengar tempatan.
Oktober 2025, wanita ini telah melancarkan single terbaharunya, Die On This Hill, menerusi Capitol Records. Single ini merupakan susulan kepada You Stole the Show yang sebelum ini menerima pujian daripada media antarabangsa seperti Clash, yang mengangkat Sienna sebagai “bona fide breakout talent”.
Menerusi Die On This Hill, artis berusia 20 tahun ini sekali lagi membuktikan kebolehannya dalam menterjemahkan kisah patah hati menjadi karya yang sarat emosi.
Menurut Sienna, lagu ini mengisahkan tentang ‘cinta yang degil, cinta yang membuatkan seseorang terus bertahan walaupun mereka tahu mereka sepatutnya pergi.’
Die On This Hill telah dihasilkan bersama barisan penerbit tersohor dunia iaitu Omer Fedi (SZA, Lil Nas X), Michael Pollack (Miley Cyrus, Lady Gaga) dan Blake Slatkin (Sam Smith, Tate McRae), serta diperkayakan dengan susunan orkestra oleh pemenang tiga Anugerah Grammy, Rob Moose.
Lagu ini menampilkan kekuatan vokal Sienna yang luar biasa, mengimbangi kegetiran emosi dan keteguhan jiwa, sekaligus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai salah satu suara baharu paling berpengaruh dalam industri muzik hari ini.



