Gaya HidupLagu Baharu

Farel Prayoga Teruja Sambut Puasa Sebagai Mualaf

Di sebalik sinar populariti yang dikecap pada usia muda, penyanyi asal Indonesia, Farel Prayoga sebenarnya melalui satu perjalanan hidup yang cukup besar dan bermakna.

Memilih untuk memeluk Islam pada tahun 2023 ketika baru berusia 12 tahun, Farel mengakui keputusan tersebut bukan sesuatu yang mudah.

Peralihan kepada kehidupan sebagai seorang mualaf menuntut kekuatan dalaman, lebih-lebih lagi apabila perlu menyesuaikan diri dengan tuntutan agama baharu.

Bakal menyambut Ramadan tidak lama lagi, Farel berkongsi keterujaannya untuk menjalani ibadah puasa dengan lebih baik berbanding tahun-tahun awal sebelum ini.

Menurut Farel, tahun ini merupakan kali ketiga dia menunaikan ibadah puasa dan bersyukur kerana tubuh serta mentalnya kini semakin mampu menyesuaikan diri.

“Alhamdulillah, sekarang sudah jauh lebih okey. Pada awalnya memang agak mencabar untuk bertahan, tapi lama-kelamaan saya belajar dan biasakan diri,” katanya.

Meskipun masih muda, Farel menegaskan dia tidak pernah mengambil jalan mudah sepanjang menjalani ibadah puasa.

“Setakat ini saya tak pernah curi-curi makan. Kalau rasa terlalu penat atau tak kuat, saya akan maklumkan kepada pengurus. Harapan saya, tahun ini dapat berpuasa penuh,” ujarnya.

Dalam pada itu, Farel turut meluahkan rasa syukur apabila berpeluang melancarkan single terbaharu berkonsepkan kerohanian berjudul Hambamu, yang terhasil secara tidak dirancang.

Menurutnya, idea menghasilkan lagu tersebut tercetus ketika terlibat dalam projek Lemak Manis bersama Indigital, sebelum hatinya tergerak untuk merakamkan sebuah karya yang lebih dekat dengan nilai spiritual.

Lagu tersebut dicipta oleh komposer dari Malaysia, Ippo Hafiz, satu kolaborasi yang disifatkan Farel sebagai pengalaman berharga.

“Saya sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Ippo. Dia juga pernah menghasilkan lagu untuk idola saya, Datuk Seri Siti Nurhaliza,” katanya.

Mengulas maksud di sebalik lagu Hambamu, Farel menjelaskan karya tersebut membawa mesej kebergantungan kepada Tuhan serta kepentingan doa, khususnya buat insan tersayang.

“Lagu ini tentang jangan mudah berputus asa dan sentiasa mendoakan orang yang kita sayang, terutamanya ibu bapa. Kita serahkan segalanya kepada Yang Maha Esa,” katanya.

Walaupun pernah merakamkan beberapa lagu berunsur Islamik di bawah labelnya di Indonesia, Hambamu disifatkan sebagai karya pertama yang diperkenalkan secara rasmi kepada pendengar di Malaysia.

Farel berharap lagu tersebut dapat diterima dengan baik dan menjadi pengiring rohani buat peminatnya, terutamanya sepanjang bulan Ramadan yang bakal tiba.

Related Articles

Back to top button