Berita

Fail Saman RM5 Juta Sebab Nama Disalah Guna, M Nasir Anggap Ini Hak Moral

Komposer dan penyanyi legenda, Datuk M. Nasir, 68, memilih untuk tidak memperincikan isu saman yang difailkannya terhadap sebuah syarikat e-hailing berhubung dakwaan penggunaan nama serta reputasinya tanpa kebenaran.

Ketika diminta mengulas perkembangan terkini kes tersebut, M. Nasir mengambil pendekatan berhati-hati dan menyerahkan perkara itu kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.

Bagaimanapun, dia mengakui tidak bersetuju sekiranya nama atau identiti seseorang digunakan oleh mana-mana pihak tanpa mendapat keizinan terlebih dahulu.

“Kalau boleh saya tidak mahu ulas mengenai hal ini. Tetapi, dari mana sudut pun kita tak suka (penyalahgunaan nama dan reputasi). Kalau ia bukan daripada kita sendiri kan,” katanya.

Mengulas mengenai isu penggunaan nama individu dalam konteks komersial, M. Nasir menjelaskan perkara tersebut lebih menjurus kepada hak moral seseorang dan bukannya berkaitan hak cipta.

“Copyright? Tak, ia berkenaan hak moral lah, hak moral kita tak boleh digunakan,” ujarnya ringkas.

Ketika diajukan sama ada tindakan pihak tertentu menggunakan namanya tanpa kebenaran boleh memberi kesan terhadap imej dan reputasi yang dibina selama puluhan tahun, M. Nasir enggan mengulas lebih lanjut.

“Tak ada, saya tak ada komen lagilah. Okey,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan M. Nasir atau nama sebenarnya Mohd Nasir Mohamed telah memfailkan saman terhadap MyTeksi Sdn. Bhd. yang mengendalikan Grab Malaysia dengan tuntutan melebihi RM5 juta.

Tindakan undang-undang itu turut melibatkan syarikat miliknya, Luncai Emas Sdn. Bhd., yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan MyTeksi sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan writ saman yang difailkan, dia mendakwa syarikat berkenaan menggunakan nama dan jenama “M. Nasir” bagi tujuan pemasaran serta promosi minuman yang dilabel sebagai “Kegemaran M. Nasir” menerusi platform mereka tanpa mendapatkan persetujuan daripadanya terlebih dahulu.

Kes berkenaan kini masih dalam proses perundangan dan belum diputuskan oleh mahkamah.

Related Articles

Back to top button