Berita

“Ada Yang Cantik, Ada Tak Cantik” – Liza Hanim Tahan Air Mata Dimalukan Depan Selebriti Lain

Penyanyi, Liza Hanim, 46, tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih apabila mengenang kembali satu insiden yang disifatkannya sebagai antara pengalaman paling menghiris hati sepanjang bergelar anak seni.

Menurut pemilik nama sebenar Haliza Hanim Abdul Halim, dia pernah menjadi sasaran gurauan yang menyentuh soal penampilan fizikal ketika menghadiri sebuah program yang turut dibarisi beberapa selebriti terkenal.

Lebih mengecewakan, kata Liza, individu yang mengeluarkan kenyataan tersebut merupakan seorang pelawak yang bertindak sebagai pengacara jemputan bagi memeriahkan suasana sebelum program bermula.

“Host yang sepatutnya jalankan program itu belum mula lagi tetapi ini adalah seorang lagi pengacara yang nak ‘warm up’. Saya duduk dengan beberapa artis yang lain.

“Selepas itu dia (pelawak) berkata begini, ‘Selamat datang, apa khabar dan sebagainya. Okay hari ini kita di program yang sangat menarik. Kita ada banyak selebriti yang datang. Ada yang cantik, ada yang tak cantik sangat’.

“Saya tahu saya bukanlah seorang yang memiliki standard kecantikan. Tapi ditunjukkan di hadapan muka. Apa ini?” luahnya.

Ketika bercerita mengenai kejadian itu, penyanyi lagu Gelisah Mimpi tersebut dilihat sebak apabila mengimbau semula kata-kata yang dianggap menjatuhkan maruahnya di hadapan khalayak ramai.

Bagaimanapun, Liza menegaskan pengalaman pahit itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus bertahan dalam industri hiburan yang telah diceburinya sejak sekian lama.

Sebaliknya, dia memilih untuk terus percaya kepada bakat dan kemampuan diri berbanding terlalu memikirkan pandangan negatif orang lain.

Related Articles

Back to top button