Ernie Zakri, Imsoniacks & Firdhaus Paling Menyerlah Sepanjang 2024
MESKIPUN pelbagai rintangan terpaksa dihadapi oleh sebahagian besar penggiat muzik tanah air, 2024 menjadi antara tahun yang membanggakan buat seluruh industri mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).
Menurut Pengerusi RIM, Rosmin Hashim industri muzik menyaksikan unjuran pendapatan industri muzik tempatan meningkat 11.5 peratus kepada RM339 juta daripada RM304 juta yang dicatat pada tahun sebelumnya.
“Ini merupakan pendapatan tertinggi dalam sejarah industri muzik tempatan dan memecah rekod jumlah pendapatan tertinggi industri muzik tempatan sebelum ini sebanyak RM315 juta yang dicatat pada tahun 1996.
“Pencapaian luar biasa ini disumbang oleh peningkatan 14 peratus dalam hasil pendapatan digital dan 7.6 peratus peningkatan kutipan royalti tiga Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) muzik utama negara berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Di sebalik ancaman dari muzik janaan kercerdasan buatan (AI), RIM berdiri teguh dengan komitmennya untuk memupuk pertumbuhan pasaran muzik, memperkasa perlindungan hak cipta dan menyokong semua pengamal dalam ekosistem industri muzik tempatan.
Sebagai sebuah organisasi yang mengawal selia industri, pelbagai aktiviti pembangunan telah dilaksanakan termasuklah kerjasama dengan beberapa buat stesen radio tempatan melalui program Carta RIM setiap minggu.
Tahun 2024 juga menyaksikan lagu Masing-Masing nyanyian Ernie Zakri dan Ade Govinda menjadi Lagu Tempatan Paling Tinggi Distrim selain kumpulan Imsomniacks sebagai Artis Paling Tinggi Distrim.
Die With A Smile nyanyian Lady Gaga dan Bruno Mars sebagai Lagu Antarabangsa Paling Tinggi Distrim manakala Firdhaus mengungguli kategori Artis Cina Tempatan Paling Tinggi Distrim selain beberapa kategori lain.
“Beberapa penyanyi ternama Malaysia telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di luar negara menerusi lagu-lagu hit mereka. Ernie Zakri telah berjaya merangkul anugerah Soundtrack Sinetron Paling Ngetop (OST) di Anugerah SCTV di Indonesia menerusi Masing-Masing.
“Hael Husaini pula telah berjaya memenangi Anugerah Lagu Tema Terbaik di Asia Academy Creative Awards 2024 selain Shila Amzah berjaya menjadi finalis program Singing with Legends di negara China,” kata Rosmin lagi.
Dalam pada itu, RIM juga mengumumkan sudah kerjasama stesen penyiar rasmi dalam penganjuran acara Anugerah Industri Muzik edisi ke-24 (AIM24), acara anugerah berprestij yang dinanti-nantikan ramai yang bakal berlangsung pada tahun ini.