EP Awake & Dreaming Bukti Kematangan Insomniacks
Menjadi antara kumpulan paling digemari di Malaysia, nama Insomniacks sebenarnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Populariti yang diraih begitu besar menjadikan pengaruh mereka antara yang terkuat ketika ini.
Dianggotai Iqie selaku penyanyi utama, Iskandar sebagai pemain bass, dan Dan sebagai pemain gitar, kreativiti mereka tidak putus untuk terus menghasilkan satu persatu karya baharu.
Melangkah setapak lagi ke depan, Insomniacks akhirnya melunaskan impian melancarkan EP berbahasa Inggeris ulung mereka berjudul Awake & Dreaming.
Semestinya ini menjadi satu lagi pencapaian baharu diraih mereka dalam koleksi diskografinya.
Menurut Iqie, mereka memang sudah sekian lama memendam hasrat ada koleksi lagu Inggeris sendiri. Ternyata proses mencurah kreativiti menghasilkan projek itu mencungkil lebih banyak lagi sisi berbeza selain corak berkarya kian matang.
“Kami sentiasa teringin lancarkan lagu-lagu inggeris sendiri sejak awal penubuhan kumpulan ini. Kami yakin pengikut dan pendengar muzik kami di Malaysia juga sudah siap melihat sisi berbeza kami.
“Proses penulisan lagunya cukup menyeronokkan. Terasa menyegarkan apabila menulis sepenuhnya dalam bahasa inggeris. EP ini adalah koleksi idea dan pengalaman daripada zaman remaja kami.
“Kami merungkai pelbagai emosi yang memberikan banyak pengalaman sepanjang tempoh meniti kedewasaan. Kami berharap karya ini akan mampu menyentuh jauh dalam lubuk hati pendengar,” katanya.
Secara keseluruhannya, Awake & Dreaming merungkai kesulitan dalam fasa berbeza
mengenai kesihatan mental. Pada masa sama, peduli terhadap perasaan setiap mereka yang melalui pengalaman terhadap isu tersebut.

Dan berkata EP itu adalah gambaran kepada masalah insomnia yang dilalui Insomniacks sendiri awal dulu. Bila masalah itu menimpa, mereka sukar membezakan antara realiti dan mimpi.
“Inspirasi di sebalik lagu Awake & Dreaming khususnya tercetus daripada kisah mereka
yang bergelut dengan insomnia sehingga terperangkap dalam kesunyian di malam hari atau waktu dilanda kesibukan pada hari siang.
“Walaupun ditulis sedekad yang lalu, ia tetap mengimbau kembali masa dan emosi dilalui ketika itu. Akhirnya tahun ini kami dapat memberinya nafas baharu dengan suntikan bunyi moden dan nostalgia.
“Ia membawa kami kembali kepada permulaan kembara kami sebagai pemuzik serta sokongan peminat kami. Dengan rakaman lebih rapinya, pasti penantian ramai akan berbaloi,” katanya.
Dengan penambahan diskografi itu, Iskandar percaya impian untuk mengadakan konsert sendiri pun semakin tiba. Selain seleksi lagu-lagu melayu hit seperti Pulang, Reminisensi dan Sempurna, kini mereka campurkan karya Inggeris pula.
Lagu hit mereka seperti Reminisensi dan Sempurna kini berada di carta domestik RIM sebagai Top 10 Lagu Domestik Paling Strim di Malaysia.
“Pendengar boleh melihat sisi berbeza dan baharu Insomniacks. Kami sangat teruja untuk tunjukkan sisi itu, apa lagi kemampuan lain kami yang lebih versatil. Kami harap semua akan terhibur dan rasai getaran lagu-lagu Inggeris kami.
EP Awake & Dreaming yang mengetengahkan genre pop rock dihasilkan sepenuhnya Iqie, Dan dan Iskandar. Turut merealisasikan projek itu adalah Joek selaku produser dan Joseph Chua sebagai penyusun muzik.
Sebanyak lima lagu dimuatkan iaitu Anti-hero, Awake & Dreaming, Overdrive (feat. KillaDriz), Some Days Are Just Better, dan Why Don’t You Cry.