Didakwa Goda Isteri Abang Sendiri Hingga Sebabkan Pergaduhan, Pemain Bola Keranjang Popular Taiwan Akhirnya Minta Maaf
Seorang pemain bola keranjang dari Taiwan dirakam bertumbuk dan saling mengejek dengan abang-abangnya dalam satu perjumpaan keluarga di Daerah Yilan, Taiwan, lewat tahun lalu.
Pertelingkahan keluarga itu tercetus selepas timbul khabar angin bahawa atlet tersebut membuat gangguan tidak senonoh terhadap kakak iparnya.
Kini, adik-beradik itu telah membawa kes tersebut ke mahkamah.
Sekitar Jun 2024, pemain point guard untuk pasukan bola keranjang tempatan, Hsinchu Toplus Lioneers, Oscar Kao, 27, dikhabarkan membuat pendekatan tidak wajar terhadap isteri abang keduanya, Kao Guoqiang.
Oscar didakwa menghantar mesej kepada isteri Guoqiang untuk mengajaknya keluar. Walaupun pada awalnya menafikan khabar angin itu, Oscar kemudian mengakui dia melakukan perbuatan tidak matang dan meminta maaf. Namun, itu tidak menghalang keretakan hubungan antara mereka.
Pada 3 Disember 2024, keadaan menjadi tegang apabila ketiga-tiga beradik itu bergaduh secara fizikal dalam satu perjumpaan keluarga di sebuah restoran di Daerah Yilan. Video pergaduhan itu turut tersebar kepada umum.
Pergaduhan dikatakan bermula di dalam restoran, di mana dua abangnya dilihat menolak Oscar. Pergaduhan kemudian berlarutan ke jalan, di mana beberapa individu dilihat bergelut.
Keadaan semakin buruk apabila tumbukan dilepaskan, dipercayai oleh salah seorang abang Oscar.
Dalam satu bahagian video, Shengwen dilihat menangkap dan meniarapkan adiknya ke tanah, sambil berkata: “Aku akan patahkan kaki kau, biar kau tak boleh main bola lagi,” gertaknya.
Oscar juga dilihat mencabar dan mengejek abang-abangnya sewaktu kejadian. Cubaan bapa mereka dan ahli keluarga lain untuk meleraikan pergaduhan tidak berjaya. Keadaan hanya reda selepas polis tiba di lokasi.
Ketiga-tiga beradik itu kini saling menyaman dan telah mengaku bersalah terhadap pelbagai pertuduhan. Keputusan mahkamah dijangka diumumkan tidak lama lagi.
Menurut laporan media, skandal keluarga dan dakwaan hubungan sulit ini hanyalah insiden terbaharu dalam siri kontroversi melibatkan atlet tersebut.
Pasukannya mengumumkan bahawa Oscar akan menarik diri sementara daripada semua aktiviti pasukan. Oscar memberi respons terhadap laporan media mengenai pertelingkahan keluarga itu dalam InstaStory pada 2 Disember.
Dalam kenyataan itu, dia menegaskan bahawa dia bukan pihak yang memulakan pergaduhan dan menyerahkan keputusan kepada mahkamah.
“Sebagai atlet profesional, saya tidak sepatutnya hilang kawalan emosi dan menjadi contoh yang buruk. Saya amat menyesali tindakan saya,” tulisnya.
Oscar juga berkata dia akan menerima apa jua hukuman yang dikenakan oleh pasukan atau liga bola keranjang.
Sumber: Mothership
