Berita

‘Dia Mesej Saya Nak Pinjam Duit’

Pelakon, Janna Nick, 31, mendedahkan pernah melalui pengalaman mencurigakan membabitkan seorang rakan selebriti yang kini didakwa terpalit dengan isu penipuan kewangan.

Menurut Janna, dia dan individu terbabit suatu ketika dahulu pernah mempunyai hubungan yang agak rapat sebelum terputus hubungan tanpa sebarang khabar berita.

Katanya, beberapa tahun kemudian individu berkenaan tiba-tiba menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApp untuk meminjam wang.

“Saya pernah bercerita tentang seorang rakan artis yang didakwa menipu. Kami dulu rapat, tapi kemudian dia hilang begitu sahaja.

“Beberapa tahun selepas itu, dia mesej saya nak pinjam duit. Lepas terima mesej, dalam beberapa saat saya terus telefon sebab rasa rindu,” kongsinya menerusi sebuah hantaran.

Bagaimanapun, situasi tersebut menjadi pelik apabila panggilan yang dibuatnya dijawab oleh suami rakan berkenaan.

“Bila saya telefon, suami dia pula yang jawab. Memang terkejutlah. Saya mesej kawan saya, tapi suami dia angkat dan beritahu dia ada di klinik ketika itu. Kalau macam itu, siapa pula yang balas mesej saya tadi?” soalnya.

Perkongsian berkenaan pantas menarik perhatian warganet yang mula membuat spekulasi dan mengaitkannya dengan kontroversi tular yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

Terdahulu, nama penyanyi rap Caprice turut disebut apabila seorang pengasas produk kecantikan mendakwa menjadi mangsa penipuan dan meminta bantuan bagi mendapatkan pembelaan.

Isu itu juga mengaitkan individu bernama Hazrin bersama isterinya, pelakon Azar Azmi, susulan dakwaan melibatkan urusan perniagaan termasuk pelaburan durian dan tanah yang dikatakan menyebabkan kerugian ribuan hingga jutaan ringgit.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak yang dinamakan, namun perbincangan mengenainya terus hangat dalam kalangan pengguna media sosial.

Related Articles

Back to top button