“Saya Keturunan Afrika, Sepupu Semua Tinggi & Besar”

Penyanyi, Asad Motawh, 25, tampil menjelaskan persoalan ramai mengenai susuk tubuhnya yang kelihatan gagah apabila mendedahkan dirinya mempunyai darah Afrika daripada sebelah keluarga bapanya.
Pemilik nama lengkap Asad Ahmad Muhammad Motawh, berkata latar belakang keluarganya di Libya memberi pengaruh besar terhadap faktor genetik termasuk warna kulit dan struktur fizikalnya.
Menurutnya, Libya yang terletak di benua Afrika sememangnya mempunyai kepelbagaian etnik dan kebanyakan ahli keluarganya di sana berkulit gelap serta memiliki tubuh tinggi dan besar.
“Saya memang ada keturunan Afrika sebab Libya sebahagian daripada benua itu. Atuk dan saudara-mara saya kebanyakannya berkulit gelap. Di kampung, sepupu dan pak cik saya hampir semuanya tinggi dan berbadan besar.
“Cuma ayah saya seorang sahaja agak rendah, mungkin sebab faktor pemakanan. Sepatutnya saya pun mewarisi genetik yang sama,” katanya menerusi satu perkongsian.
Dalam masa sama, Asad turut berkongsi bahawa gaya hidup keluarganya di kampung halaman berbeza berbanding kebiasaan masyarakat di Malaysia, terutama dari segi pemakanan harian.
Jelasnya, kebanyakan sumber makanan diperoleh secara semula jadi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang ditanam sendiri, manakala susu pula diperah segar daripada lembu.
“Mungkin sebab itu kulit mereka cantik dan fizikal pun nampak lebih tegap,” ujarnya lagi.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi warganet yang rata-ratanya teruja dengan keunikan latar belakang penyanyi berkenaan.



