Dari Penjara Ke London, Awie Mahu Wings Terus Terbang Tinggi

MENYASARKAN untuk melakukan pelbagai aktiviti sepanjang 2025, Rumah Produksi Merah yang gerakkan oleh Datuk Awie dan Datuk Eddie Amir Salim bakal mengadakan pelbagai aktiviti penting seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Seperti mana yang diketahui ramai, Awie dan kumpulan Wings antara kumpulan paling aktif melakukan pelbagai aktiviti dan kali ini mereka sudah merancang pelbagai aktiviti ‘gila’ bagi memenuhi segala perancangan.

Antara perkara yang bakal dilaksanakan termasuklah mengadakan siri mini konsert di penjara seluruh Malaysia yang akan bermula di Penjara Kajang.

“Kami percaya muzik mempunyai kuasa untuk memberi inspirasi dan harapan, walaupun dalam persekitaran yang paling mencabar.

“Kami mengajak penaja dan pihak berkepentingan untuk turut serta dalam usaha ini,” katanya dalam satu sidang media yang diakan baru-baru ini.

Jelas Awie, di Malaysia terdapat lebih 40 buah perjara dan pihaknya menyasarkan untuk melakukan konsert sebagai tanda membawa harapan baharu kepada mereka di sana.

Namun usaha itu perlu disulami dengan kerja keras dan usaha sama daripada pelbagai pihak lain bagi merealisasikan hasrat mengadakan persembahan di sana.

Selain itu, Wings yang bakal menyambut usia 40 tahun turut merancang mengadakan Wings Fest pada Oktober atau November nanti sebagai simbolik keberadaan mereka di dalam industri.

“Empat dekad dalam industri adalah satu pencapaian yang luar biasa. Wings Fest bukan sekadar meraikan kejayaan kami, tetapi juga penghargaan kepada peminat setia yang sentiasa menyokong.

“Buat masa ini saya tidak boleh kongsikan lagi pengisian acara tersebut. Apa yang pasti semuanya akan lain daripada yang lain. Itu janji kami,” ujar Awie yang turut merancang untuk membawa Wings mengadakan persembahan di London.

Jelasnya perkara berkenaan masih lagi di dalam perancangan dan sedang berbincang dengan beberapa pihak sebelum pengumuman rasmi dibuat.

Bagi Eddie pula, dia menyifatkan Wings sebagai sebuah kumpulan legenda dan sudah tiba masanya mereka mendokumentasikan perjalanan yang dilalui.

Untuk itu sebuah filem dokumentari 40 Tahun Perjalanan Wings akan dikeluarkan tidak lama lagi sebagai bukti jerih perih mereka berjalan untuk sampai ke tahap ini.

“Saya banyak mendengar kisah jatuh bangun Awie dan Wings untuk sampai ke tahap ini. Mereka telah melalui pelbagai cabaran dan rintangan untuk bertahan sebagai sebuah kumpulkan.

“Sudah tentu kisah yang dilalui menarik perhatian dan akan didokumentasi sebagai sebuah filem dokumentari yang menarik. Ini penting sebagai sejarah yang akan dikongsikan bersama generasi akan datang,” Eddie pula.

Menariknya, Wings juga akan mengadakan sebuah konsert tribute dan album khas dengan menyanyikan semula lagu-lagu popular era 60-an, 70-an dan 90-an.

Sebahagian daripada royalti album berkenaan akan diserahkan kepada keluarga dan waris sebagai tanda penghargaan.

Related post

Leave a Reply