BeritaBisnes

Cawangan Darsa Fried Chicken Bangi Didakwa Tutup?

Darsa Fried Chicken (DFC), jenama ayam goreng yang mencuri perhatian pada tahun 2024 selepas mendakwa sebagai jenama 100 peratus milik Bumiputera dilaporkan telah menutup cawangannya di Bangi atas sebab yang tidak didedahkan.

Cawangan yang terletak di Bandar Seri Putra itu mula menimbulkan tanda tanya selepas seorang netizen memuat naik foto di Facebook yang menunjukkan kemungkinan premis tersebut telah ditutup.

Dalam foto berkenaan, beberapa kerusi dan meja kelihatan diletakkan di luar kedai, dengan pemilik hantaran (OP) menyatakan papan tanda masih menyala pada waktu malam, namun kedai didapati berkunci pada waktu siang.

Wartawan daripada Oriental Daily kemudiannya mengunjungi cawangan tersebut dan mendapati pintu utama dirantai dengan besi serta terdapat notis ‘Untuk disewa/dijual’ dipamerkan.

Akhbar berbahasa Cina itu turut melaporkan yang cawangan berkenaan hanya beroperasi kira-kira setahun.

Apabila Oriental Daily menghubungi pihak kedai, mereka dimaklumkan bahawa cawangan tersebut ditutup sementara bagi tujuan pengurusan perpindahan.

Namun begitu, tiada maklumat lanjut diberikan mengenai lokasi baharu atau tarikh pembukaan semula.

DFC diasaskan oleh pendakwah bebas, Muhd Zainul Asri Mohd Romli, ketika tercetusnya boikot berskala nasional terhadap jenama yang dianggap mempunyai kaitan dengan konflik Israel–Palestin.

Bagaimanapun, jenama itu kemudiannya terpalit kontroversi susulan komen Type C yang ditinggalkan oleh seorang pentadbir Facebook selepas seorang netizen mengadu mengenai harga yang ditawarkan.

Untuk makluman, istilah Type C merupakan satu gelaran berunsur perkauman yang merujuk kepada komuniti Cina di Malaysia, dan kebelakangan ini sering digunakan sebagai bahan jenaka serta meme di media sosial.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button