Berita

“Bila Jumpa, Rasa Malu & Segan”

Pelakon, Que Haidar, 46, menjelaskan hubungannya dengan aktres Nur Fazura tidak lebih daripada sekadar sahabat lama yang kembali bekerjasama dalam sebuah kempen raya.

Menurut pemilik nama sebenar Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, pertemuan semula dengan Fazura selepas sekian lama tidak bertemu membuatkan dia berasa sedikit segan memandangkan dirinya sudah lama tidak aktif dalam industri seni.

“Memang kami bersahabat. Fazura ialah sahabat lama yang sudah lama saya tidak berjumpa, kami juga sertai industri ini dalam tempoh yang lebih kurang sama.

“Bila jumpa semula, mestilah ada rasa malu-malu dan segan. Maklumlah saya sudah lama meninggalkan industri.

“Kadang-kadang saya terfikir juga, ‘wow, besarnya nama awak sekarang’, sedangkan saya rasa nama saya kecil sahaja,” katanya.

Mengulas mengenai reaksi segelintir peminat yang seolah-olah merestui jika hubungan mereka melangkah ke fasa lebih serius, Que bagaimanapun memilih untuk tidak terlalu memikirkan perkara tersebut.

“Kalau orang gembira, alhamdulillah. Kalau perkara ‘kenen-kenen’ ini boleh buat orang hilangkan keresahan atau stres mereka, saya okey sahaja.

“Kita tidak perlu fikir terlalu berat. Kalau saya beratkan, pasti akan jadi berat. Kalau saya ringankan, jadi ringan. Jadi saya layan sahaja,” ujarnya.

Terdahulu, kemesraan antara Que dan Fazura mencuri perhatian ramai selepas mereka dilantik sebagai duta bagi sebuah jenama tekstil tempatan serta tampil bersama mempromosikan kempen raya.

Malah, spekulasi semakin hangat apabila Que dilihat menghadiahkan sejambak bunga mawar kepada Fazura selain mereka turut dilihat meluangkan masa mengunjungi bazar Ramadan bersama baru-baru ini.

Related Articles

Back to top button