“Saya Tidak Mahu Kongsi Punca Cerai”

Pelakon dan pengacara, Zulin Aziz, 37, memilih untuk tidak mendedahkan punca sebenar perceraiannya dengan bekas suami, Farhan Norzaini yang berlaku pada Disember tahun lalu.
Menurut Zulin, keputusan itu diambil demi menjaga aib kedua-dua pihak selain menghormati keluarga masing-masing memandangkan perpisahan tersebut berlaku secara baik.
“Saya berpisah secara baik dengan bekas suami. Hubungan kami dengan kedua-dua belah keluarga pun masih baik.
“Saya memang tidak mahu berkongsi apa-apa mengenai punca perceraian atau membuka aib sesiapa. Tambahan pula sekarang bulan Ramadan, saya mahu menjaga silaturahim antara kami,” katanya.
Tambahnya, keputusan untuk tidak mendedahkan perkara sebenar juga dibuat selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat.
“Kami sudah berbincang secara baik dan bersetuju untuk mengunci mulut mengenai perkara ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zulin menjelaskan dia memilih pendekatan tersebut selepas melihat pengalaman beberapa individu lain yang berkongsi kisah perceraian secara terbuka sehingga mengundang pelbagai kecaman daripada netizen.
“Orang memang mudah bercakap dan bertanya kenapa bercerai. Ada juga yang melabel artis seolah-olah bercerai macam tukar baju.
“Tapi hakikatnya mereka tidak berada di tempat kita. Sebab itu saya rasa tiada keperluan untuk berkongsi punca perceraian kepada umum.
“Saya lebih selesa dengan keputusan ini selepas melihat pengalaman orang lain yang membuka cerita tentang perceraian mereka. Saya ambil itu sebagai pengajaran,” jelasnya lagi.
Berkongsi mengenai keadaannya kini, Zulin mengakui masih berada dalam fasa memulihkan emosi dan cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu selepas berpisah.
“Saya sekarang dalam proses pemulihan, terutamanya dari segi emosi. Perlahan-lahan saya cuba jalani kehidupan seperti biasa.
“Saya gelak dan ketawa seperti biasa walaupun sebenarnya masih ada rasa sedih. Lagipun kerja saya memerlukan saya untuk melawak.
“Kalau menangis pun, biarlah di rumah sahaja. Di luar saya cuba tampil ceria,” ungkap Zulin.
Terdahulu, Zulin mengejutkan ramai apabila mendedahkan dirinya sudah sah bercerai pada 18 Disember tahun lalu selepas selesai menjalani tempoh idah.
Untuk rekod, Zulin dan Farhan mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2022, namun perkahwinan mereka tidak dikurniakan cahaya mata.



