Biadab Dengan Pelanggan, Kedai Emas Mohon Maaf

PEMPENGARUH yang sering dikaitkan dengan fesyen extravaganza, Prince Syed baru-baru ini meluahkan rasa kecewa apabila dia mendakwa menerima layanan kurang elok ketika berada di sebuah kedai emas.

Ketika itu, Prince Syed dan isterinya, Fatin Syazwani hanya mengenakan pakaian biasa, seperti pelanggan-pelanggan lain ketika sedang memilih barang kemas pilihan hati.

Begitupun, pasangan suami isteri yang kerap viral setiap kali tibanya hari raya itu dilayan acuh tidak acuh, sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam dirinya.

“Menyesal aku datang sini hari ini, padahal hari ni aku budget hampir RM90,000 untuk shopping set-set emas untuk isteri aku buat raya kali ni sebab wife berkenan nak cari design bunga-bunga pula. Baru tanya pasal cincin tapi layanan macam hampeh, kurang ajar. Kenapa? Kau tengok aku pakai simple macam ni kau ingat aku tak ada duit ke?” tulisnya.

Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, pekerja kedai emas tersebut berbual dengan nada yang kurang mesra selain melemparkan cincin emas yang ingin dilihat kepada Prince Syed dan isterinya.

Prince Syed memberitahu yang dia merakamkan detik berkenaan kerana mahu menghadiahkan barang kemas yang dipilih untuk isterinya. Namun, lain pula jadinya apabila kakitangan berkenaan dilihat bersikap sedikit biadab.

Menerusi ruangan komen, ramai dalam kalangan netizen menzahirkan rasa marah dan meminta agar kedai emas berkenaan membuat permohonan maaf.

Difahamkan, kedai emas tersebut membuat permohonan maaf dan mengakui telah mengambil tindakan terhadap kakitangan yang terlibat.

“Kami ingin memohon maaf di atas perkhidmatan yang tidak memuaskan yang telah diberikan oleh salah seorang staf kami, yang baru-baru ini viral di TikTok. Kakitangan yang terlibat telah dipindahkan ke jabatan lain sementara perkara ini dalam siasatan.

“Jika perkara ini dilaporkan pada ketika itu, kami akan dengan kadar segera selesaikan situasi yang berlaku. Sekali lagi kami mohon tulus ikhlas atas apa yang berlaku,” ujarnya lagi.

Related post

Leave a Reply