Trending

Arwah Ibu Restu Perkahwinan Hafiz & Fiona

Penyanyi, Hafiz Suip, 36, tidak pernah menyangka pertemuan singkat di sebuah kedai makan akhirnya menjadi titik tolak kepada perkahwinannya bersama Fiona Saffiya.

Menurut pemilik nama penuh Mohamad Hafiz Mohamad Suip, perkenalan mereka bermula sekitar dua tahun lalu ketika dia sedang mencari penyanyi wanita untuk menggantikan Adira bagi Konsert Hafiz Suip – Perjalananku yang berlangsung di Kuching pada Oktober 2024.

Ketika itu, dia kebetulan singgah menjamu selera sebelum terdengar seorang wanita menyampaikan lagu Ku Akui dengan penuh penghayatan.

Tertarik dengan kemerduan suara tersebut, Hafiz bertanya dan dimaklumkan wanita itu ialah Fiona, seorang penyanyi yang agak dikenali di Sarawak.

“Perkenalan kami bermula dua tahun lalu sebelum berlangsungnya Konsert Hafiz Suip-Perjalananku di Kuching pada Oktober 2024. Waktu itu saya memang nak cari pengganti Adira yang tidak dapat beraksi pada konsert tersebut.

“Kebetulan saya singgah di sebuah kedai makan dan terdengar seorang wanita menyanyikan lagu Ku Akui. Suaranya sangat sedap. Saya dimaklumkan dia juga seorang penyanyi popular di Sarawak.

“Asalnya saya tak percaya. Terus cari namanya di internet dan pelawa dia jadi penyanyi undangan. Kemudian kami berkawan. Tak sangka akhirnya disatukan sebagai suami isteri,” katanya.

Berkongsi lanjut, bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, antara perkara yang membuka pintu hatinya ialah sikap prihatin Fiona selain hubungan akrab wanita itu dengan ibunya, Allahyarham Halizawati Salleh.

“Keistimewaan yang ada pada Fiona adalah sikap ambil peduli serta tahu macam mana nak kawal lelaki seperti saya, malah dia juga sangat rapat dengan ibu saya.

“Alhamdulillah, sebenarnya ini pun restu arwah ibu juga. Fiona memang rapat dengan arwah ibu kerana sudah lama kenal. Mereka jumpa kembali dan akrab semula sehinggalah sebelum ibu meninggal dunia November lalu.

“Masa awal perkenalan pun perkara pertama yang saya lakukan adalah bawa Fiona bertemu dengan ibu, syukur ibu bagi restu,” ujarnya lagi.

Mengimbau detik sebelum kembali bergelar suami, Hafiz turut mendedahkan arwah ibunya sempat menyuarakan harapan agar dia dan Fiona segera disatukan secara sah.

“Seperti yang pernah saya katakan, ibu adalah keutamaan saya. Waktu itu ibu berpesan, ‘kau ni tengah dalam proses cerai, jadi kena buat betul-betul’.

“Maksudnya, ibu mahu saya lakukan dengan cara yang betul iaitu bernikah. Sebab itu saya beritahu Fiona, kita kena tunaikan permintaan ibu.

“Sepatutnya tarikh nikah kami pada tarikh lahir ibu iaitu 15 Februari, tetapi ayah pesan jangan melewat-lewatkan pernikahan, jadi kami pilih 13 Februari,” ungkap Hafiz.

Pada 13 Februari lalu, Hafiz sah bergelar suami kepada Fiona, 39, dalam sebuah majlis yang diadakan di Petrajaya, Kuching.

Sebelum ini, Hafiz pernah mendirikan rumah tangga dengan Nureffy Jasreel pada 14 Mei 2016 dan dikurniakan dua anak lelaki, Muhammad Riyahd Zafri, 9, serta Muhammad Alkaf Zayne, 5. Pasangan itu berpisah pada Mei 2025.

Fiona pula sebelum ini pernah berkahwin dengan seorang lelaki berketurunan Tionghua dan mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinan tersebut sebelum berpisah kira-kira lima tahun lalu. Penyanyi berketurunan Bidayuh itu memeluk Islam pada Disember 2025.

Related Articles

Back to top button