Video Tular Dakwa Polis Minta Rasuah Di KL, PDRM Nafi Dan Jelaskan Situasi Sebenar

Satu klip TikTok baru-baru ini tular dalam talian yang memaparkan sekumpulan anggota polis didakwa meminta rasuah daripada seorang pemandu di tepi jalan sekitar Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Polis DIraja Malaysia (PDRM) tampil menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa tiada unsur rasuah berlaku.
Dalam klip berdurasi kira-kira empat minit itu, dua anggota polis dilihat berbual dengan seorang pemandu lelaki di tepi jalan, namun perbualan mereka tidak dapat dipastikan.
Rakaman kemudian menunjukkan beberapa anggota polis lain mengelilingi pemandu tersebut, yang kelihatan menundukkan kepala sambil melihat ke arah tangannya.
Selepas ‘perbincangan’ yang agak lama, pemandu itu kembali ke keretanya tetapi masih berada di lokasi untuk meneruskan perbualan dengan salah seorang anggota polis selama beberapa minit lagi.
Di penghujung video, anggota polis tersebut dilihat beredar bersama rakan setugasnya.
Di ruangan komen, sebahagian netizen berpendapat ada sesuatu yang tidak kena dan membuat spekulasi bahawa insiden itu mungkin melibatkan rasuah. Seorang pengguna secara sinis menyatakan bahawa rasuah “tidak dapat dipisahkan” daripada pasukan polis.
Selepas video tersebut menjadi tular, PDRM mengeluarkan kenyataan rasmi bagi memberikan penjelasan lanjut.
Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi bin Daud, kejadian itu berlaku di persimpangan masuk dan keluar Jalan Persiaran Jalil Utama, Bukit Jalil, Kuala Lumpur kira-kira jam 11.20 pagi pada 26 Februari lalu.
Dia berkata, empat anggota polis ketika itu sedang menjalankan tugas rondaan serta mengeluarkan saman terhadap kenderaan yang menghalang lalu lintas.
“Dalam kejadian tersebut, polis menasihatkan pemandu supaya mengalihkan kenderaan dan mendaftar aplikasi Volunteer Smart Phone Patrol (VSP) PDRM. Butiran pemandu turut direkodkan untuk tujuan rekod.
“Dua saman juga telah dikeluarkan kepada pemandu berkenaan dan sebuah lagi kenderaan,” katanya.
Mohd Rosdi mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan salah faham.
Dia turut menggesa individu yang mempunyai maklumat lanjut supaya menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Cheras di 03-9284 5050 / 5051, atau mana-mana balai polis berhampiran.



