Ara Johari Mahu Lebar Sayap Ke Indonesia
PERCATURAN mempertaruhkan lagu galau nampaknya menjadi apabila lagu Menjaga Jodoh Orang Lain mendapat sambutan luar biasa daripada pendengar bukan sahaja di Malaysia tetapi juga serantau.
Perkara tersebut dinikmati dengan rasa syukur oleh Ara Johari yang menganggap perjalanan seninya begitu baik meskipun walaupun baru dua bulan melintasi 2025.
“Saya anggap penat lelah kami sebagai satu pasukan berbaloi apabila lagu tersebut disukai ramai. Sebenarnya bukan mudah untuk mencari sebuah karya yang ‘kena’ dengan selera semua.
“Pada awalnya memang berdebar menantikan maklum balas pendengar tapi sekarang barulah kami menikmati kemanisannya,” kata penyanyi yang berusia 27 tahun ini.
Menjaga Jodoh Orang Lain merupakan kolaborasi pertama Ara bersama dengan komposer terkenal Indonesia, Ilham Baso.
Sejak dilancarkan Julai tahun lalu, lagu berkenaan mendapat 10 juta tontonan dia YouTube dan pernah menjuarai Carta RIM (Recording Industry Music Of Malaysia) untuk tempoh beberapa minggu.
Tambah penyanyi ini lagi, pastinya sambutan yang diberikan membakar semangatnya untuk terus melebarkan sayap ke Indonesia seperti mana yang dicita-citakan sebelum ini.
“Memang ada rancangan untuk mengembangkan lagi karya tersebut di sana tetapi semuanya masih dalam perancangan.
“Mungkin nanti ada beberapa kelainan yang perlu dilakukan bagi memberikan nilai tambah selain mengikut kesesuaian pasaran di sana. Jika tiada halangan mungkin saya akan ke sana selepas Hari Raya Aidilfitri nanti,” tambahnya lagi.
Di sebalik kejayaan tersebut, penyanyi ini sebenarnya gundah memikirkan karya yang akan datang. Dia mengakui sedikit tertekan untuk memilih naskhah seterusnya yang akan dipertaruhkan nanti.
Namun begitu, Ara tidak menolak untuk bekerjasama dengan mana-mana komposer baharu atau memilih genre lain asalkan dapat kekal relevan di dalam industri muzik tempatan.